'Mr H' kurang sihat, tidak hadir rekod keterangan

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses merekod keterangan 'Mr H' yang sepatutnya diambil Balai Polis Presint 11, Putrajaya pada Rabu terpaksa ditangguhkan susulan individu itu memberi alasan tidak sihat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

"Beliau tak hadir sebab kurang sihat. Tarikh baharu (rekod keterangan) akan dimaklum kemudian," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum itu, pihak polis mengesahkan akan merekod keterangan 'Mr H' bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular perbualan berbaur lucah membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sinar Harian turut melaporkan tiga orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Razarudin juga mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis dibuat oleh Penolong Pegawai di J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya.

Pada Isnin, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.

Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Agus yang membuat laporan polis pada Isnin juga mendakwa identiti ‘Mr H’ telah didedah kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.