Tiga penerbangan sewa khas ke Langkawi rancakkan TMM 2020

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof (tengah) pada sidang media hari ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) akan dirancakkan dengan tiga penerbangan sewa khas Kompas Tour dari Almaty, Kazakhstan terus ke pulau peranginan bebas cukai ini.

Penerbangan sewa khas Kompas Tour yang mengambil masa tujuh jam membawa seramai 235 orang penumpang menggunakan pesawat Boeing 757-200 Sunday Airlines tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, penerbangan sewa khas Kompas Tour itu diyakini mampu meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong dari Kazakhstan ke negara ini yang mencatatkan 13,912 orang setakat September 2019 lalu, peningkatan 33.6 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2018.

"Penerbangan sewa khas Kompas Tour ini adalah antara usaha kolaborasi antara Tourism Malaysia, MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad), LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi), Embassy Alliance Travel (M) Sdn Bhd dan Kompas Tour antara agensi pelancongan terbesar di Asia Tengah.

“Penerbangan sulung hari ini (semalam) membawa 235 penumpang manakala dua lagi penerbangan iaitu pada 4 dan 12 Januari tahun hadapan, ketiga-tiga penerbangan ini dijangka membawa 705 orang penumpang. Kita berharap laluan Almaty-Langkawi akan menjadi buah mulut di Kazakhstan dan Asia Tengah seterusnya penerbangan sewa khas terus berkembang terutama ke pulau ini," katanya.

Musa berkata demikian ketika menyambut ketibaan penerbangan sewa khas Kompas Tour di LIA di sini semalam.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan; Pengurus Besar Pemasaran Syarikat Penerbangan MAHB, Mohamed Sallauddin Mohamed Shah dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Mengulas lanjut, Musa berkata, penerbangan dari Kazakhstan ke Langkawi bukan sahaja akan membawa pelancong dari negara tersebut malahan negara jiran di Asia Tengah seperti Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

"Kita buat promosi di Kazakhstan bukan sahaja untuk menarik pelancong dari negara tersebut tetapi juga negara jiran berhampiran berikutan peningkatan kehadiran pelawat dari Asia Tengah ke Malaysia setiap tahun.

"Rakyat Asia Tengah memiliki kemampuan untuk melancong jadi kita ambil peluang perkenalkan negara ini kepada mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kehadiran pelancong dari Asia Tengah semakin meningkat berikutan kerjasama strategik dilaksanakan Tourism Malaysia dan Kompas Tour.

"Pasaran Asia Tengah amat besar dan kolaborasi ini membuka pasaran baharu buat Langkawi. Kompas Tour sudah membawa seramai 461 orang penumpang menerusi dua penerbangan sewa khas dari Almaty pada Januari tahun ini.

"Kita mengalu-alukan kerjasama ini yang memberi manfaat kepada Langkawi menerusi kehadiran pelancong dari Asia Tengah," katanya. - Bernama