Respons segera setiap aduan penduduk - Aminuddin

Aminuddin ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan.
Aminuddin ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Semua jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Sembilan diminta melakukan inovasi dalam sistem penerimaan aduan awam sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan menyelesaikan setiap aduan rakyat atau memberi maklum balas boleh memberi persepsi negatif kepada kerajaan pemerintah.

"Kita masih dengar rungutan masyarakat bila diadukan sesuatu perkara, jabatan itu serahkan kepada jabatan lain dan keadaan terus berlaku saban tahun.

"Ia tak harus berulang lagi dan sebab itu hari ini perlu ada inovasi penerimaan aduan,"katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Menurutnya, setiap penjawat awam seharusnya menjadi 'jaguh' untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima.

Tambahnya, sebagai entiti yang merupakan pelaksana kepada setiap dasar, tidak sepatutnya pelbagai alasan diberi sehingga berlaku kelewatan untuk bertindak.

"Bagaimana caranya(untuk diselesaikan), itu harus dilakukan dan kita tidak mahu apabila ia gagal dilaksanakan ini mencerminkan kegagalan kepimpinan dan pemerintah.

"Kadang-kadang benda itu boleh selesai dalam 20 minit perbincangan tapi tidak terlaksana kerana kita tolak menolak,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau ketika berucap pada program berkata, kerajaan tidak lagi dilihat sebagai

organisasi daripada jabatan dan agensi berlainan sebaliknya dilihat sebagai 'satu entiti'.

Ujarnya, konsep tersebut merupakan satu pendekatan holistik bagi memastikan semua agensi dan jabatan gembleng dengan matlamat yang sama untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memenuhi kehendak rakyat yang kini lebih sinonim dengan istilah masyarakat digital.

"Namun, dalam keghairahan membuat pembaharuan atau inisiatif digital yang berteraskan rakyat dalam perkhidmatan awam, tiga prinsip asas yang perlu difahami dan diaplikasikan iaitu memudahkan, bersifat manusiawi dan mempunyai ciri-ciri keselamatan.

"Saya berharap setiap inisiatif yang diperkenalkan akan mempunyai ciri mesra pengguna serta bersifat responsif dengan pengguna," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM9.87 juta pada tahun ini untuk mengukuhkan sistem penyampaian awam yang lebih cekap sejajar dengan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan (PEDNS).

Tambahnya, pengukuhan tadbir urus digital (digital governance) ini disokong dengan jaringan Internet yang meluas dan kebolehcapaian yang tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!