PRN: Amanah Negeri Sembilan bertegas pertahan DUN Lenggeng

MK Ibrahim (tiga dari kanan) pada sidang akhbar diadakan di Pejabat Amanah Negeri Sembilan.
MK Ibrahim (tiga dari kanan) pada sidang akhbar diadakan di Pejabat Amanah Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan akan pertahan habis-habisan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng supaya kerusi tersebut terus diwakili calon parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, keputusan itu selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 13 Julai lalu yang mengumumkan kerusi DUN terbabit yang telah dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kekal ditandingi parti itu termasuk dua DUN lain iaitu Paroi dan Klawang.

"Oleh itu keberadaan kerusi DUN Lenggeng yang telah kami menangi harus dipertahankan demi memastikan wujudnya keseimbangan dalam perwakilan rakyat di negeri ini.

"Malah hasrat itu bukan sahaja daripada kepimpinan Amanah Negeri Sembilan tetapi juga jentera parti di peringkat akar umbi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Amanah Negeri Sembilan pada Rabu.

Pihaknya menegaskan, ia bukan bermakna Amanah mengetepikan kewibawaan rakan koalisi dalam Kerajaan Perpaduan, namun tidak mahu keupayaan parti itu diabaikan apatah lagi kerusi tersebut dimenangi calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu.

"Kami tidak ingin Amanah diabaikan atau diperlekehkan terutamanya dalam hal melibatkan kerusi yang telah kami menangi dengan usaha gigih daripada jentera parti.

"Jadi kita sangat berharap Majlis Presiden akan bersama dengan keputusan kami ini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan akan bertanding di 17 kerusi Dewan DUN pada PRN ini termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain Lenggeng, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU14 yang lalu manakala PH 19 kerusi.

"Ia telah dipersetujui dan dicakapkan kepada saya oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan Majlis Presidennya iaitu Perdana Menteri bahawa beliau telah pun membuat keputusan iaitu kerusi DUN Lenggeng akan diberikan kepada kita.

"Tiada 'dakwa-dakwi' lagi, itu sebabnya saya katakan bahawa keputusan Majlis Presiden itu muktamad. Siapa nak cakap apa cakaplah, melainkan jika ada orang cuba menelan semula dia punya janji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kuala Pilah baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Serah pada PM muktamadkan agihan kerusi termasuk DUN Lenggeng

PRN: Kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

PRN: BN Negeri Sembilan tanding 17 kerusi termasuk DUN Lenggeng