Ismail Lasim jalankan tugas seperti biasa, hadiri perjumpaan dengan pegawai kanan negeri

Ismail (tengah) menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu. Foto Facebook Dato' Ismail Bin Lasim
Ismail (tengah) menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu. Foto Facebook Dato' Ismail Bin Lasim
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim hari ini dilihat menjalankan tugas seperti biasa dengan menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS) di sini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ismail berkata, perjumpaan itu diadakan bersama Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia baharu, Akhmal Abu Basar yang menggantikan Zairil Azwan Zulmuji yang berpindah ke Kementerian Pendidikan.

Beliau turut menyampaikan harapan supaya Akhmal dapat meneruskan usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia dan kecemerlangan perkhidmatan awam Negeri Sembilan selain merakamkan penghargaan kepada Zairil Azwan atas sumbangan dan perkhidmatannya.

Isnin lepas, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Pada Selasa, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Semalam, Tuanku Muhriz turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!