Jenayah babit belia di Johor membimbangkan

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 2,402 kes jenayah membabitkan golongan belia berusia bawah 40 tahun direkodkan di negeri ini bermula 1 Januari sehingga Oktober lalu.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 1,970 kes tahun lalu.

"Mengikut statistik dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, kes kecurian membabitkan belia merekodkan peningkatan sebanyak 862 kes, diikuti seksual (692 kes); vandalisme (239 kes); samun (166 kes); samseng/kongsi gelap (10 kes); dan buli (lima kes).

"Tangkapan bagi lumba haram pula meningkat kepada 421 kes sehingga Oktober lalu berbanding hanya 270 kes tahun lalu. Tangkapan kesalahan mabuk dalam kalangan belia turut meningkat kepada 492 kes berbanding hanya 470 dalam tempoh yang sama.

"Tangkapan kes jenayah dadah dalam kalangan belia turut meningkat kepada 9,942 kes (naik 17.21 peratus) berbanding tahun lalu," ujarnya.

Mohd Hairi (BN-Larkin) berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Marina Ibrahim ( DAP- Skudai) pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, di Kota Iskandar pada Isnin.

Marina bertanya mengenai pembabitan belia Johor dalam kes jenayah yang semakin membimbangkan, selain langkah yang diambil kerajaan negeri bagi menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, peningkatan kes jenayah belia yang membimbangkan memerlukan tindakan termasuk daripada Jabatan Belia dan Sukan Johor yang telah melaksanakan 10 program Intervensi Sosial dari Belia Untuk Belia (Y2Y) bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Kem Belia Sejahtera yang memberi pemahaman dan kesedaran kepada golongan belia mengenai bahaya gejala sosial juga telah dilaksanakan.

"Sebanyak 71 program Rakan Muda juga telah dilaksanakan di Johor pada tahun ini membabitkan 30,000 bagi memastikan masa terluang generasi muda diisi dengan aktiviti berfaedah dan menyenorokkan," katanya.