28 NGO, CSO desak pemerintah negara berpengaruh tuntut gencatan senjata

Rakyat Palestin memeriksa runtuhan berikutan serangan Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
Rakyat Palestin memeriksa runtuhan berikutan serangan Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
A
A
A

SHAH ALAM - 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) mendesak pemerintah di negara-negara yang berpengaruh untuk bersatu menuntut peperangan Israel-Palestin dihentikan dan gencatan senjata dilaksanakan secepat mungkin.

Gabungan NGO dan CSO dalam kenyataan bersama berkata, usaha tersebut bertujuan bagi mencegah lebih banyak pembunuhan di Gaza yang menyebabkan ribuan nyawa yang tidak bersalah terkorban.

"Kami juga menyeru kerajaan Malaysia untuk mengenakan tekanan diplomasi bagi mendesak kerajaan-kerajaan yang berkaitan untuk menghentikan pembiayaan peperangan, penindasan dan bekalan senjata yang berterusan serta mengambil sikap menentang kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

"Sebagai tindak balas segera terhadap krisis kemanusiaan, kami merayu bantuan dalam bentuk bekalan perubatan, sokongan psikologi untuk kanak-kanak yang terjejas oleh perang dan pembukaan segera sempadan untuk aliran lancar tanpa halangan sumber-sumber penting seperti makanan, air dan bahan api," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut kenyataan bersama itu, sumbangan melalui badan amal yang diperakui, dipercayai dan telah secara aktif juga dilihat menyumbang kepada usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

"Sebagai tindak balas segera terhadap krisis kemanusiaan, kami merayu bantuan dalam bentuk bekalan perubatan, sokongan psikologi untuk kanak-kanak yang terjejas oleh perang dan pembukaan segera sempadan untuk aliran lancar tanpa halangan sumber-sumber penting seperti makanan, air dan bahan api.

"Kami bersolidariti dengan rakyat Palestin, yang telah menanggung lebih tujuh dekad penindasan Israel, pemerintahan aparteid, penjajahan ketenteraan, pembunuhan serta perampasan harta, tanah dan ladang.

"Sangat penting untuk kita bersatu dengan satu visi, satu identiti dan satu komuniti untuk memperjuangkan kelestarian kemanusiaan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi pemeliharaan nyawa manusia," ujar kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Antara yang terlibat adalah termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Aliran, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) serta inisiatif Penyelidikan Sosial & Ekonomi dan Pusat KOMAS.

Selain itu, Pertubuhan Arus Bakti, Bait Al Amanah (House of Trust), Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH),Association of NexGen Christians of Malaysia (ANCOM), Pertubuhan Seni Silat Petir Warisan Sheikh Dada, Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Majlis Belia Negeri (MBN) Negeri Sembilan.

Di samping itu, Persatuan Halfway Home For Furly Strays, Pertubuhan Kebajikan Adiwarna Johor, Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, G25 Malaysia, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Malaysians Against Pornography, Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) dan Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI).