Projek berimpak tinggi Kedah tunjuk kemajuan positif

Sanusi ketika membentangkan Belanjawan 2024 di DUN Kedah pada Ahad.
Sanusi ketika membentangkan Belanjawan 2024 di DUN Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Projek berimpak tinggi yang dirancang di negeri ini berada di landasan tepat dan menunjukkan kemajuan yang positif.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara inisiatif ialah menjenamakan semula Kedah Rubber City (KRC) di daerah Padang Terap untuk membuka pelaburan daripada pelbagai sektor dan bukan lagi berkaitan industri getah semata-mata.

Menurutnya, pembangunan hab logistik darat dan pusat data juga sedang rancak dilaksanakan di Delapan SBEZ (Special Border Economic Zone) di Bukit Kayu Hitam.

“Usaha kita memajukan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Kubang Pasu juga menunjukkan perkembangan positif.

"Kerajaan Persekutuan baru-baru ini meluluskan peruntukan tambahan melalui Belanjawan 2024 untuk memulakan kerja-kerja infrastruktur dalaman pada tahun hadapan,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Kedah ke-15 (Mesyuarat Bajet 2024) di Wisma Darul Aman di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut merakamkan penghargaan atas sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap projek Kedah Aerotropolis melalui pembangunan Sidam Logistic, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) yang akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Kelulusan telah diberikan untuk projek Pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) yang merupakan sebahagian komponen Kedah Aerotropolis.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sedang berusaha memenuhi syarat-syarat Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meneruskan rancangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) seperti diperlukan National Airports Strategic Plan (NASP),” jelasnya.

Menurutnya, Kedah Aerotropolis bakal menjadi kenyataan dengan penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV), Kedah Aerotropolis Holdings Sdn Bhd pada 22 November lalu.

“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan anak syarikatnya, KXP Airport City Holdings Sdn Bhd telah memeterai satu perjanjian dengan firma Tahira Air Sdn Bhd untuk menjalankan fasa pertama pembangunan Kedah Aerotropolis.

“Apabila siap kelak, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri 4.5 peratus dan menyediakan 45,000 peluang pekerjaan baharu bagi anak Kedah,” ujarnya.

Sanusi menjelaskan, Lebuhraya Koridor Utara (NCH) yang sebahagian besar jajarannya merentasi Kedah telah ditender secara Request for Proposal (RFP) dan kini dalam proses penilaian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM).

“Projek lebuh raya ini dijangka dimulakan pada tahun 2025 dan pembangunan projek ini akan menyokong pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah Aerotropolis serta KRC.

“Dijangkakan pembangunan ini akan merancakkan lagi pembangunan kawasan 'hinterland' Kedah seperti Mahang di daerah Kulim, Jeniang (Kuala Muda) dan Sungai Tiang (Pendang) melalui pembinaan 'interchange' yang berhampiran,” katanya lagi.

Sanusi menegaskan, pelbagai projek berimpak tinggi di beberapa lokasi telah disusun secara seimbang mengikut zon, selain kawasan industri sedia ada di Kulim dan Kuala Muda.