'Bajet kebajikan rakyat, bukan populis' - Sanusi

Sanusi menunjukkan buku Bajet 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.
Sanusi menunjukkan buku Bajet 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah membentangkan Bajet 2024 berjumlah RM1.241 bilion dengan jangkaan defisit 13.92 peratus atau RM104.10 juta.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM852.1 juta dengan RM100.39 juta daripada jumlah itu adalah sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Menurutnya, di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM83.34 juta dan Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM768.76 juta.

“Anggaran perbelanjaan ini dijangka meningkat sebanyak RM12.98 juta atau 1.5 peratus berbanding tahun 2023," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2024 di Wisma Darul Aman, di sini, pada Ahad.

Sanusi berkata, untuk anggaran perbelanjaan pembangunan pula, dicadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM211.77 juta.

"Bajet 2024 juga mencadangkan Anggaran Pembangunan Hutan berjumlah RM14.75 juta, peningkatan sebanyak RM5.79 juta atau 64.6 peratus.

“Peningkatan ini adalah bagi menyokong bajet Kerajaan Persekutuan atas tujuan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) bagi memulih dan memelihara Sumber Biodiversiti Kedah,” katanya.

Menurutnya, sejumlah RM263.58 juta dicadangkan sebagai peruntukan di bawah Peruntukan Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah ini, RM262.3 juta daripada Kumpulan Wang Pinjaman sementara RM1.28 juta daripada sumber kerajaan negeri seperti pengambilan tanah untuk dua projek bekalan air, iaitu projek menambah keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru dan projek menaiktaraf LRA Sungai Limau.

“Kos pembinaan bagi kedua-dua projek ini dibiayai secara geran bawah peruntukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC),” ujarnya.

Sanusi berkata, bagi anggaran hasil 2024 pula, kerajaan negeri menganggarkan hasil RM748 juta, peningkatan sebanyak RM13 juta atau 1.77 peratus berbanding anggaran hasil pada tahun 2023.

“Penyumbang terbesar adalah daripada hasil cukai iaitu RM354.23 juta atau 47.36 peratus, diikuti hasil bukan cukai menyumbang 29.87 peratus atau RM223.42 juta. Terimaan bukan hasil pula berjumlah RM170.35 juta atau 22.77 peratus.

“Pecahan hasil adalah daripada hasil tanah sebanyak RM501.03 juta, pelbagai hasil (RM203.55 juta), hasil hutan (RM30.34 juta) serta hasil daerah sebanyak RM13.08 juta,” jelasnya.

Pada sidang akhbar selepas Sidang DUN ditangguhkan, Sanusi berkata, Bajet 2024 dirangka secara realistik dengan mengimbangi hasil dan perbelanjaan ke arah merealisasikan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

“Bajet ini fokus kepada kebajikan rakyat selain memperkemaskan pentadbiran awam. Kita nak setiap sen dalam hasil negeri dibelanjakan ke arah sektor yang paling mustahak. Tidak ada ketirisan atau pengabaian untuk perkara-perkara penting dalam bajet.

“Ia bajet solid untuk rakyat, bukan populis kecuali pengumuman bonus kepada penjawat awam RM2,000, yang itu lah popular sikit,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!