Banjir Bukit Tinggi: Menteri, wakil agensi adakan mesyuarat tergempar

Young Syefura bersama Nik Nazmi meninjau lokasi terjejas akibat kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Bentong. - Foto FB Young Syefura Othman
Young Syefura bersama Nik Nazmi meninjau lokasi terjejas akibat kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Bentong. - Foto FB Young Syefura Othman
A
A
A

KUANTAN - Satu mesyuarat tergempar diadakan ekoran kejadian banjir kilat di Bukit Tinggi, Bentong pada malam Sabtu.

Mesyuarat yang diadakan di Balai Polis Bukit Tinggi pada Ahad dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama wakil beberapa agensi kerajaan berkaitan.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, menteri telah mengambil maklum punca kepala air yang menyebabkan runtuhan cerun dan kerosakan jalan.

Young Syefura bersama Nik Nazmi pada masyuarat tergempar yang diadakan di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong pada Ahad. - Foto FB Young Syefura Othman
Young Syefura bersama Nik Nazmi pada masyuarat tergempar yang diadakan di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong pada Ahad. - Foto FB Young Syefura Othman

Menurutnya, bencana yang berlaku turut merosakkan pelbagai harta benda penduduk selain menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi kawasan pelancongan itu.

"Kajian menyeluruh akan dibuat pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kerja-kerja mitigasi yang diperlukan untuk seluruh daerah Bentong khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk Bukit Tinggi dan Janda Baik.

"Pada masa yang sama, kerja-kerja baik pulih cerun, jalan, kerja pembersihan dan pendalaman sungai akan dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS buat sementara waktu sebelum pelan baik pulih jangka panjang dilakukan," katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya pada Ahad.

Antara lokasi terjejas ekoran kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Bukit Tinggi pada malam Sabtu. - Foto FB Young Syefura Othman
Antara lokasi terjejas ekoran kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Bukit Tinggi pada malam Sabtu. - Foto FB Young Syefura Othman

Artikel Berkaitan:

Young Syefura berkata, siasatan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti sekiranya terdapat penerokaan haram hutan simpan di atas bukit dan kemungkinan terdapat kawasan takungan hujan yang berpotensi menyebabkan kepala air setiap kali berlaku hujan lebat.

Banjir kilat dengan arus air deras melanda sekitar kawasan Bukit Tinggi ekoran hujan sangat lebat dan berterusan beberapa jam pada malam Sabtu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam itu dirakam dan dikongsi netizen di media sosial.

Berdasarkan rakaman video yang tular, aliran air deras dari kawasan tinggi melimpah membanjiri jalan raya menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir tidak sempat dialihkan.

Air turut memasuki beberapa premis milik penduduk hingga ada harta benda yang rosak akibat bencana itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!