Musim tengkujuh: Pembekal jual ayam RM5.90 sekilogram

Lebih 2,000 ekor ayam dijual pada harga Rahmah RM5.90 sekilogram bermula jam 9 pagi hingga 3 petang. - Gambar hiasan
Lebih 2,000 ekor ayam dijual pada harga Rahmah RM5.90 sekilogram bermula jam 9 pagi hingga 3 petang. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Memahami kesulitan orang ramai terutama dalam berdepan musim banjir, sebuah syarikat pembekal ayam segar hari ini mengambil inisiatif menjual barangan keperluan itu pada harga Rahmah RM5.90 sekilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Putih Sdn Bhd, Erra Emira Mohamed Zin berkata, lebih 2,000 ekor ayam dijual pada program promosi syarikatnya bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

"Pada musim banjir ini, kami menerima banyak tempahan (ayam) termasuk daripada mangsa banjir di Pasir Mas dan Pasir Puteh yang terkesan dengan bencana itu pada 21 November lepas, dan ada juga daripada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ada juga bahagian ayam seperti leher dijual pada harga RM2.99 sekilogram bagi membolehkan semua orang dapat makan ayam," katanya kepada Bernama pada program 'Jualan Ayam Segar Musim Boh' di tapak kilangnya di Kota Seribong di sini hari ini.

Pengarah Ayam Putih Sdn Bhd, Muhammad Darwis Ibrahim pula berkata, sebelum ini pihaknya mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) menerusi usaha sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta kerajaan negeri.

Beliau berkata, usaha membantu orang ramai tercetus selepas perniagaannya yang terjejas akibat Covid-19 berjaya dipulihkan.

"...perniagaan kami hampir jatuh (terjejas akibat Covid-19), tetapi berjaya dipulihkan semula. Sebab itu kami nekad untuk membantu orang lain terutama berkaitan jualan ayam.

"Selain program membantu mangsa banjir, kami turut mengadakan jualan murah di lokasi anjuran kerajaan negeri seperti di Jeli, Tanah Merah dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pelanggan Nurul Huda Yahya, 35, berkata, biarpun hujan lebat, dia sanggup datang seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding pasar raya serta pasar basah.

Menurutnya, walaupun seorang pelanggan hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam sahaja, usaha itu mampu meringankan beban orang ramai. - Bernama