Batal kemenangan di Kemaman: Pas belum putuskan PRK atau buat rayuan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas belum memutuskan sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang keputusan belum dibincangkan sama ada untuk merayu keputusan tersebut atau memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti dilakukan pada Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya sedang mengadakan perbincangan lanjut bersama pasukan peguam yang dilantik.

“Pas akan tengok perkembangan sehari dua ini. Kita terima keputusan mahkamah dengan terbuka. Pilihan hanya dua, sama ada PRK atau buat rayuan.

“Pasukan peguam akan bincang dengan parti sama ada nak rayu atau terus kepada PRK. Kalau nak cepat buat PRK sama macam di Kuala Terengganu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, tidak mustahil Kemaman juga akan menghadapi senario sama seperti di Kuala Terengganu.

“Masa petisyen Kuala Terengganu kita menang besar. Kemaman akan lagi besar menang, cuma buang masa dan duit sahaja. Tak apalah.

“Kita rejam mereka sekali lagi. Dua kali rejam, dua kali lemas takkan nak gagah lagi kan, tenggelam terus,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.

Dalam pilihan raya tersebut, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.