Dakwaan gangguan seksual: Polis rekod keterangan pegawai kanan Maritim esok

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan merekod keterangan pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan dakwaan terhadapnya babit kes gangguan seksual, pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan pegawai itu akan diambil oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

"Rakaman percakapan pegawai itu akan diambil pada esok (Khamis), jam 2.30 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Berikutan itu, Maritim Malaysia dalam kenyataan turut meminta kerjasama orang ramai untuk menghentikan sebarang tindakan menular laporan polis berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau tohmahan yang boleh menjejaskan proses keadilan bagi semua pihak yang terbabit.

Pada Rabu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan babit dakwaan kes gangguan seksual membabitkan seorang pegawai terbabit terhadap seorang wanita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum itu, tular paparan laporan polis oleh seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang juga perunding kewangan membuat mendakwa pegawai terbabit mengganggunya di WhatsApp sejak tahun lalu.

Berdasarkan laporan polis yang tular itu, wanita terbabit mendakwa pegawai terbabit mengganggu dengan perkongsian video dan perbualan lucah.

Artikel Berkaitan: