Tiada kompromi kes gangguan seksual bos miang

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

DALAM seminggu ini kita dikejutkan dengan insiden gangguan seksual yang datang bertimpa-timpa.

Bermula dengan video tular perbualan 'panas' individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan seorang kakitangan J-KOM, ia diikuti pula keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengekalkan hukuman penjara selama 13 bulan terhadap seorang mudir madrasah dikenali sebagai Ustaz Budak atas tuduhan melakukan kelucahan melampau dan mencabul lelaki di sebuah hotel.

Terkini, tular kes gangguan seksual membabitkan seorang ketua pengarah sebuah agensi keselamatan bergelar Datuk ke atas seorang wanita berusia 39 tahun.

Berdasarkan statistik PDRM, jumlah kes gangguan seksual meningkat dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes (2021), namun menurun sedikit kepada 477 kes pada 2022. Kita percaya jumlah yang tidak dilaporkan juga tinggi.

Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina.

Bukan sahaja perempuan, lelaki juga rupa-rupanya tidak selamat. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 10 peratus mangsa gangguan seksual adalah lelaki!

Ada banyak jenis perlakuan yang dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Ini termasuklah gangguan secara lisan seperti bersembang dan berjenaka menggunakan kata-kata lucah, membuat bunyi-bunyian, serta memberi kritikan, pujian atau bertanyakan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku atau tubuh badan.

Gangguan secara isyarat pula meliputi menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau menggunakan bahasa isyarat lain.

Gangguan secara visual pula adalah lebih serius kerana melibatkan perlakuan menghantar video, gambar, poster, objek atau bahan bacaan berunsur seksual menerusi aplikasi media sosial.

Artikel Berkaitan:

Siapa pun pelaku atau siapa pun mangsa, perlakuan jijik itu tidak sewajarnya dianggap isu kecil dan kurang penting.

Ini kerana ia memberi kesan negatif terutamanya kepada psikologi mangsa seperti trauma sekali gus menjejaskan rutin dan produktiviti harian.

Jangan menerima gangguan seksual sebagai gurauan atau jenaka. Ini akan membawa kepada normalisasi.

Ingat, ia boleh berlaku di mana sahaja termasuk di institusi pengajian, tempat awam, lebih-lebih lagi jika di tempat kerja ada bos yang miang.