Sabah bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM5.701 bilion

Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM5.701 bilion dengan anggaran lebihan RM35.87 juta.
Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM5.701 bilion dengan anggaran lebihan RM35.87 juta.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM5.701 bilion dengan anggaran lebihan RM35.87 juta pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat.

Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ itu berkata sebanyak RM4.751 bilion diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan mengurus, dan RM950 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

"Belanjawan ini dirangka khusus demi membela kesejahteraan hidup rakyat melalui pelaksanaan program pembangunan berterusan. Saya ingin menekankan di sini bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyediakan belanjawan yang holistik dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM5.737 bilion dengan RM2.636 bilion disumbangkan menerusi hasil cukai, hasil bukan cukai termasuk royalti petroleum (RM2.372 billion), dan terimaan bukan hasil (RM729.10 juta).

"Tahun 2024 hasil negeri dijangka mengalami penurunan disebabkan situasi geopolitik dan ekonomi tidak menentu memberi kesan kepada harga komoditi petroleum mentah dan minyak sawit mentah di pasaran global. Justeru, kerajaan negeri mengambil pendekatan separa konservatif dalam anggaran hasil agar kedudukan kewangan kekal kukuh,” katanya.

Masidi berkata, sebanyak RM1.328 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, dengan jumlah sebanyak RM847.23 juta adalah melalui peruntukan negeri, dan RM480.46 juta melalui pinjaman persekutuan serta bayaran balik persekutuan.

Beliau berkata, daripada peruntukan negeri itu sebanyak RM555.6 juta atau 65.58 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, sektor sosial sebanyak RM272.99 juta atau 32.22 peratus, manakala sektor pentadbiran am sebanyak RM18.64 juta atau 2.2 peratus.

Peruntukan berjumlah RM808.06 juta dicadangkan untuk perbelanjaan emolumen membiayai gaji penjawat awam negeri, perbelanjaan berulang RM2.203 bilion antara lain bagi Biasiswa Kerajaan Sabah serta bantuan sosial, dan perbelanjaan khas RM1.74 bilion antaranya menangani isu keterjaminan makanan dan infrastruktur awam, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian.

"Bayaran Khas Kewangan ini akan dibayar secara dua kali iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2024,” katanya.

Beliau berharap insentif tersebut akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk terus berusaha dengan lebih gigih demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu dan akan bersambung pada Isnin ini, 27 November. - Bernama.