Jangan tunduk pada Dong Zong

A
A
A

*GABUNGAN Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menerusi satu hantaran di Twitter pada 24 Disember memakai tajuk: “Ayuh Bersama Dong Zong, Ulangi Peristiwa 13 Mei 1969.”

Hanya beberapa jam selepas itu tajuk berkenaan ditukar kepada: “Ayuh Bersama Dong Zong, Jangan Ulangi Peristiwa 13 Mei 1969.”

Tajuk asal itu dikatakan agak provokatif, sebab itu menerima banyak respons negatif daripada warga maya.

Sebagai NGO prihatin dan tinggi toleransi lagi penuh bertanggungjawab, Gamis sedia menukar tajuk provokatif itu kepada sesuatu yang lebih lunak.

Tetapi, seyogia diingat di tempat kita bukan semua NGO ada rasa prihatin dan bertanggungjawab...

*PERIHAL tajuk provokatif Gamis itu adalah gara-gara kedegilan Dong Jiao Zong yang tegas berhasrat meneruskan perhimpunan pada 28 Disember ini.

Kumpulan pendidikan Cina itu mengajak lain-lain NGO Cina supaya ramai-ramai berkongres bagi menyatakan pendirian terhadap isu tulisan jawi dalam teks subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Apa lagi yang Dong Zong hendak bincangkan mengenai tulisan jawi? Apa lagi yang tidak puas hati sehingga beriya-iya hendak berkongres?

Artikel Berkaitan:

Kerajaan telah membuat keputusan dan keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang memudaratkan. Penjelasan mengenai keputusan kerajaan itu telah pun dijelaskan dengan panjang lebar, apa lagi yang Dong Zong tidak faham?

Sekiranya tajuk asal Gamis itu dianggap provokatif, apakah hasrat untuk meneruskan kongres itu – walaupun banyak pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju – bukan provokatif?

Kedegilan – dan keangkuhan – Dong Zong itu terang-terang satu provokasi.

*MAKA ada cadangan supaya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengadakan dialog dengan Dong Zong bagi menjernihkan isu tulisan jawi.

Ada juga cakap-cakap mengenai parti-parti politik sepatutnya bersemuka memperhalusi kekusutan mengenai tiga halaman tulisan jawi dalam teks Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Seperti disiarkan media Majlis Presiden MCA akan membincangkan sama ada perlu mengadakan perbincangan dengan Pas mengenai perkara tersebut.

“MCA mengambil maklum kesediaan Pas berjumpa dan berbincang dengan MCA,” kata Setiausaha Agungnya Chong Sin Woon.

Kabinet telah memutuskan mengenai perkara tersebut, maka apa lagi yang hendak disosak-sosekkan. Kerajaan harus bertegas dan jangan tunduk atau layan mana-mana pihak yang banyak songeh.

Siapa berkuasa, kerajaan atau Dong Zong?

*MASIH mengenai tulisan jawi. Sementara tulisan tersebut hendak diajar di sekolah vernakular, elok juga ditanya adakah semua pelajar Melayu tahu dan boleh membaca dan menulis jawi?

Saya tanyakan ini sebab ramai pelajar Melayu – juga orang Melayu amnya – tidak kenal jawi. Sesetengahnya boleh membaca al-Quran, tetapi tidak tahu membaca atau menulis jawi.

Maka apabila tulisan tersebut diperkenalkan di sekolah Cina dan diambil secara positif lagi bersungguh-sungguh, bukan tidak mungkin pelajar Cina dapat menguasai tulisan Melayu itu lebih baik daripada orang Melayu sendiri.

Samalah apa yang terjadi sekarang di mana murid-murid Cina menguasai subjek Bahasa Melayu – dapat A – lebih daripada murid Melayu sendiri.

*AKHIR kalam, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan letak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Apandi berkata, beliau meletak jawatan serta-merta kerana tidak mahu terus menjadi 'kuda tunggangan politik'.

Beliau mendakwa prosiding tunjuk sebab ke atas Hishammuddin diarah dihentikan oleh pimpinan parti. Satu sumber menyebut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah orang yang mengarahkan prosiding berkenaan dihentikan.

“Saya tidak rela dijadikan sebagai kuda tunggangan. Maruah saya lebih penting daripada jawatan,” tegas mantan Peguam Negara itu seperti yang dilaporkan The Malaysian Insight.

Demikianlah adanya...