Berjasa tubuh GSP4, gabung parti politik perjuang isu Palestin

Zamani (duduk tengah) dalam sidang media Persidangan Meja Bulat: Gabungan Solidariti Parti Politik dan Tokoh Nasional Untuk Pembebasan Palestin di Hotel Tenera
Zamani (duduk tengah) dalam sidang media Persidangan Meja Bulat: Gabungan Solidariti Parti Politik dan Tokoh Nasional Untuk Pembebasan Palestin di Hotel Tenera
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Solidariti Parti Politik dan Tokoh Nasional Untuk Pembebasan Palestin (GSP4) ditubuhkan bagi menggerakkan semua parti politik negara untuk membawa suara pembebasan Palestin.

Gabungan ditubuhkan Parti Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) itu disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan tokoh nasional.

Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, persidangan GSP4 pada Khamis bersetuju untuk melobi dan memberikan kefahaman yang jelas mengenai konflik Palestin kepada parti-parti pembangkang dan kerajaan.

Jelasnya, gabungan itu juga komited memberikan desakan untuk dibawa ke Parlimen supaya semua parti politik negara membina kefahaman dan pendirian jelas dalam isu pembebasan Palestin.

“Kita juga akan minta kerajaan membuat satu kenyataan atau pendirian jelas mengenai Palestin bahawa kita tidak bersetuju untuk meneruskan penyelesaian dua negara dan berpegang dengan dasar sedia ada iaitu tidak mengiktiraf negara Israel.

“Kita ingin membawa suara ini ke peringkat nusantara dan serantau serta seterusnya dunia, sebab itu kita mengharapkan GSP4 ini bukan hanya (disertai) beberapa parti, tetapi semua parti politik negara untuk membawa suara pembebasan Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Persidangan Meja Bulat: Gabungan Solidariti Parti Politik dan Tokoh Nasional Untuk Pembebasan Palestin di sebuah hotel di Bangi pada Khamis.

Mengulas hasrat menggabungkan semua parti politik di dalam satu gabungan sama, Zamani berkata, GSP4 turut mengalu-alukan parti bukan Islam untuk membawa agenda sama atas dasar kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak terbatas pada Muslim, tetapi juga akan memahamkan bahawa isu ini adalah isu kemanusiaan dan semua bangsa yang rasakan bahawa (kita) mesti hidup mulia dan harmoni.

“Maka, bangsa bukan Melayu Islam juga patut menyokong hasrat GSP4 supaya bangkit membawa agenda kemanusiaan lebih tinggi membatasi tembok politik yang ada.

“Tidak kira Cina, India boleh bersama-sama melihat apa yang berlaku di Palestin sangat mengguris naluri kemanusiaan kita,” katanya lagi.

Beliau berkata, sidang meja bulat gabungan itu turut bersetuju supaya kerajaan bersuara untuk meletakkan Israel, Amerika Syarikat dan Presidennya, Joe Biden sebagai pihak bertanggungjawab dalam kerosakan serta pembunuhan di Palestin.

“Ini supaya negara bersetuju membawa mereka ke muka pengadilan antarabangsa, jadi ini perkara yang dipersetujui.

“Kita mahu negara jadi hero kepada ini seperti Malaysia dahulu, apabila suara kita didengar dunia dan Malaysia kembali kepada posisi itu,” katanya.