Semakan tarif air beri kelegaan buat Kedah - Sanusi

Sanusi melihat Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) pada Khamis.
Sanusi melihat Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) pada Khamis.
A
A
A

BALING - Semakan tarif air oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memberi kelegaan kewangan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan bermula tahun 2025.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri sebelum ini ialah sebanyak RM45 juta setahun bagi tempoh 45 tahun.

Bagaimanapun, katanya, selepas memuktamadkan proses migrasi dan melaksanakan beberapa langkah yang diminta oleh kementerian, jumlah RM45 juta turun menjadi sekitar RM33 juta hingga RM35 juta setahun, atau RM3 juta hingga RM4 juta sebulan.

"Kali terakhir kenaikan tarif air pada 2010 sebanyak sekupang (10 sen)... kalau berlaku kenaikan tarif, kita ada sedikit kelegaan kewangan untuk kita mula membayar hutang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, pada Khamis.

Sanusi merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling pada Khamis.
Sanusi merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, memaklumkan, semakan tarif air domestik di semua negeri akan dibuat pada awal tahun hadapan susulan ada negeri yang tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.

Sanusi yang juga Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkata, mekanisme penetapan tarif air bagi seluruh negara akan ditentukan oleh kementerian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Akan berlaku sedikit kenaikan... kita tunggu tengok setakat mana mekanisme itu akan menentukan tarif baru harga air di seluruh negara...sekarang ini setiap negeri tidak sama, Johor harga lain, Kedah harga lain, kalau boleh diselaraskan... Alhamdulillah.

"Sudah 13 tahun tiada semakan tarif air, kalau berlaku kenaikan sedikit, banyak benda lagi kita boleh buat, bukan nak membebankan orang ramai," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sanusi berkata, masyarakat di daerah Baling perlu mengambil kesempatan untuk memberi cadangan atau bantahan berhubung Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) sebelum akhir bulan ini.

"Setakat ini hanya tujuh cadangan/bantahan yang diterima di daerah ini. Tidak ada banyak bantahan di Kedah, kalau di negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, setiap draf untuk buat perubahan akan menerima ribuan cadangan, bantahan," katanya.

Beliau turut menjelaskan agar cadangan/bantahan perlu dibuat pada ketika ini iaitu di peringkat draf, bukanlah ketika projek sedang dilaksanakan.