PRN Kedah: Sanusi terus pertahan Jeneri

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor akan terus mempertahankan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Sanusi yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bakal berdepan dengan pencabar utamanya daripada Barisan Nasional iaitu Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim 12 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada Rabu.

PN juga sebelum ini telah sebulat suara menamakan Sanusi sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya parti itu berjaya mengekalkan kuasanya di Kedah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri dengan jumlah majoriti sebanyak 2,455 undi.

Beliau menewaskan pesaingnya ketika itu, Mahadzir Abdul Hamid (BN-UMNO) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH-PPBM).

Nama Sanusi baru-baru ini juga kelihatan agak kontroversi selepas dikatakan begitu lantang bersuara tanpa memelihara soal sensitiviti.

Malah beliau juga berdepan tuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan, mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik, pada awal bulan lalu. - AWANI