SPRM tahan suami isteri bantu siasatan salah guna kuasa

Beberapa kenderaan mewah milik pasangan itu yang dirampas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat.
Beberapa kenderaan mewah milik pasangan itu yang dirampas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Suspek pertama yang merupakan seorang pegawai awam negeri berusia lewat 30an ditahan kira-kira jam 6 petang pada Ahad sementara isterinya yang berusia 40an ditahan sekitar jam 3.30 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Suspek yang merupakan seorang pegawai awam negeri dan isteri disyaki menyalahguna jawatan untuk mendapat perolehan kerja mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber, suspek dikatakan mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya, yang diuruskan oleh isterinya bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu sejak 2019.

Sumber memberitahu, SPRM turut merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan itu dianggarkan bernilai lebih RM100,000 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Jelas beliau, siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan kemungkinan suspek juga terlibat dengan kerja-kerja perolehan yang lain.