Faizal Azumu kongsi lima 'azimat'

Ahmad Faizal (dua dari kanan) merasmikan majlis pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali keenam di IDCC, Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
Ahmad Faizal (dua dari kanan) merasmikan majlis pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali keenam di IDCC, Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkongsi lima azimat kepada ahli parti khususnya Armada dan Srikandi untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan.

Menurutnya, lima azimat itu ialah cintakan ilmu, terapkan nilai murni, berani, taat dan setia serta beriman.

“Bersatu melakar pembinaan mercu tanda peradaban bangsa yang cemerlang.

"Srikandi dan Armada adalah sebahagian daripada pemikir dan penggerak.

“Penggerak ini akan memastikan cita-cita pembangunan bangsa menjadi kenyataan dan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan, kita terlebih dahulu hendaklah mempunyai nilai moral yang tinggi.

“Kita mesti bencikan sifat tamak haloba, mementingkan diri.

"Kita mesti sentiasa bergerak dengan penuh sifat kebaikan, memikirkan keperluan ramai mendahului keperluan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali keenam di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Tambah Ahmad Faizal, kedua-dua sayap itu memainkan peranan penting sejak awal penubuhan parti sehingga kini.

Ujarnya, Armada dan Srikandi juga menjadi penggerak utama parti dalam melebarkan lagi pengaruh serta menambah keahlian.

“Parti kita bertambah kuat dan mampu menarik sokongan rakyat dan kini jelas telah berjaya mendapatkan sokongan padu terutama sekali daripada kaum Melayu-bumiputera,” katanya.