Cukuplah bangkit isu sekolah vernakular, fokus bangunkan negara - Sin Woon

Sin Woon (tengah) pada sidang akhbar di ruang lobi Istana Kehakiman.
Sin Woon (tengah) pada sidang akhbar di ruang lobi Istana Kehakiman.
A
A
A

PUTRAJAYA - "Cukuplah, seharusnya kita fokus kepada agenda pembangunan negara."

Demikian tegas Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan itu jelas menunjukkan sekolah vernakular tidak dapat dipertikaikan dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi saya keputusan ini sangat jelas, dan diharap tiada lagi yang mencurigai berkaitan kewujudan sistem pendidikan pelbagai aliran ini.

"Cukuplah membangkitkan isu-isu sebegini, sebaiknya kita fokus dalam soal agenda membangunkan negara, itu sebaiknya," katanya pada sidang akhbar di ruang lobi Istana Kehakiman dekat sini, pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata, pihaknya berharap pihak plaintif tidak membuat rayuan berkaitan keputusan itu kerana ia diputuskan di bawah perlembagaan.

"Secara jelas ia merupakan satu perkara dalam perlembagaan dan ia tidak perlu dipertikaikan kerana ia tidak membawa manfaat kepada negara.

"Saya sebahagian daripada kerajaan sendiri mengalu-alukan kemenangan ini dan berharap pihak berkaitan jelas dengan keputusan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, peguam yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan Melayu dan Islam mengesahkan akan membuat rayuan untuk semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili NGO berkenaan berkata, semakan itu akan dilakukan oleh pihaknya dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.

Pada Khamis, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara menolak rayuan yang difailkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka ialah Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Pada Disember 2019, lima NGO iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma memfailkan saman terhadap 13 pihak antaranya kerajaan Malaysia, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 serta Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka ia perlu dibatalkan.

NGO-NGO itu mencabar keabsahan sekolah vernakular dan menyatakan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.