Hukuman FAM pengajaran terbaik buat Selangor FC

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

HUKUMAN dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap Selangor FC atas beberapa beberapa kesalahan semasa saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 akan menjadi pengajaran terbaik buat pasukan itu bagi mengharungi musim depan.

Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa berkata, pasukan itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap hukuman tersebut yang disifatkan wajar susulan tindakan pemain, pegawai serta penyokong pasukan berkenaan.

"Ia betul kami ada buat silap berdasarkan kelakuan dan serta pertuduhan-pertuduhan dinyatakan...harapnya ia akan jadi pengajaran buat kami di pihak pengurusan dan staf terlibat.

"Selepas ini kami akan lebih menerapkan budaya kurang agresif dan beremosi selain meminta penyokong untuk bersama-sama mengelakkan perkara itu daripada berulang.

"Tak salah nak jadi penyokong tegar tapi ada batasnya,” katanya kepada Bernama

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada perasmian Kejohanan Golf Amal Raja Muda Selangor 2023 di sini hari ini.

Semalam, Selangor FC antara pasukan yang menerima padah apabila dikenakan hukuman denda oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas melakukan beberapa kesalahan semasa saingan Liga-M 2023.

Skuad The Red Giants didenda RM23,000 terhadap tiga pertuduhan yang tidak boleh dirayu berikutan kesalahan dilakukan semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 September lepas.

Artikel Berkaitan:

Antara kesalahan itu, membabitkan insiden baling botol air dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan, serta insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan selain gagal memastikan keselamatan pengadil selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, seorang pemain dan lima pegawai Selangor FC turut dikenakan hukuman yang melibatkan jumlah keseluruhan denda RM65,000 dan beberapa tindakan dikenakan bergantung kepada kesalahan setiap individu pada perlawanan tersebut.

Selain itu, bekas pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab digantung daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia ekoran tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia. - Bernama