Yazan digantung seumur hidup

Insiden Yazan menendang pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu, 24 September lalu.
Insiden Yazan menendang pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu, 24 September lalu.
A
A
A
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup kepada bekas import Selangor FC, Yazan Al-Arab daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di negara ini.

Ia selepas pemain Jordan itu didapati bersalah menyepak pengadil perlawanan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu, 24 September lalu.

FAM dalam satu kenyataan berkata, Yazan telah melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM sekali gus bersalah atas dua pertuduhan menyaksikan dia akan digantung empat perlawanan dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak.

"Bagaimanapun, jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan, bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut.

"Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi pelanggaran-pelanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup. Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," kata kenyataan itu.

Insiden Yazan menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir itu berlaku selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor tewas kepada Terengganu FC dengan agregat 3-1 dan gagal mara ke perlawanan separuh akhir.

Video Yazan menendang pengadil itu juga tular di media sosial yang menyaksikan pemain import dari Jordan itu terlebih dahulu berkata sesuatu sebelum menolak Mohd Hasrol, sekali gus dia dilayangkan kad merah.

Kemudian, Yazan dilihat menendang Mohd Hasrol sebelum dia ditenangkan oleh rakan sepasukan.

Selangor FC juga turut mengambil tindakan menamatkan kontrak Yazan pada 3 Oktober lalu secara persetujuan bersama.
Artikel Berkaitan:


Selain Yazan, FAM turut menjatuhkan hukuman kepada beberapa pegawai Selangor yang turut terlibat dalam insiden tersebut.