Waspada, pindah segera ke PPS jika air naik - Bomba Kelantan

Gelagat Kuda lumba jenis Belima ketika dipindahkan ke kawasan tanah tinggi selepas kandang kuda dinaiki air ekoran hujan berterusan sejak semalam ketika tinjauan sekitar kampung Dalam Ru, Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
Gelagat Kuda lumba jenis Belima ketika dipindahkan ke kawasan tanah tinggi selepas kandang kuda dinaiki air ekoran hujan berterusan sejak semalam ketika tinjauan sekitar kampung Dalam Ru, Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah di negeri itu supaya sentiasa berwaspada berikutan terdapat beberapa tempat telah dinaiki air banjir.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin turut meminta penduduk terjejas berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya paras air terus meningkat bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Di Kelantan hujan berterusan menyebabkan ada kawasan dinaiki air sejak malam tadi, ini petunjuk kepada kami untuk bersiap sedia menghadapi banjir.

"Kami telah menggerakkan aset strategik di kawasan rendah di negeri ini bagi melaksanakan tugas-tugas menyelamat mangsa banjir," katanya kepada pemberita semasa melakukan tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Zainal berkata, beliau turut mengarahkan kesemua 22 balai di Kelantan melakukan rondaan setiap sejam bagi memantau paras air sungai utama di kawasan masing-masing.

"Di Kampung Tersang, kami mendapat maklumat air limpahan dari Sungai Golok mula memasuki perkampungan itu apabila hujan berterusan sejak malam tadi," katanya.

Setakat 5 petang, sebanyak 79 mangsa banjir sedang berlindung di tiga PPS masing-masing dua di jajahan Pasir Puteh dan satu di Bachok. - Bernama

Artikel Berkaitan: