OKU kembar terpaksa pindah ke PPS empat kali setahun

Operasi pemindahan mangsa banjir di Kampung Tasek Tok Kundur pada Selasa. - Foto APM Pasir Puteh KG. TASEK TOK KUNDUR
Operasi pemindahan mangsa banjir di Kampung Tasek Tok Kundur pada Selasa. - Foto APM Pasir Puteh KG. TASEK TOK KUNDUR
A
A
A

PASIR PUTEH - Sepasang kembar orang kurang upaya (OKU) di sini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS) sekurang-kurangnya empat kali setahun.

Rohana Mohd Sakri, 41, yang mengalami kecacatan tangan manakala kembarnya Rohani dengan kecacatan kaki berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja dekat sini tengah hari semalam, selepas kediaman mereka di Kampung Tasik Tok Kundur, Gaal di sini ditenggelami banjir sedalam lebih tiga meter.

"Memang setiap kali musim tengkujuh kami menjadi penghuni setia di PPS. Kami pernah berlindung di PPS lebih dua minggu.

"Walaupun agak memenatkan kami tidak serik untuk berpindah ke PPS kerana kami sebagai OKU mungkin akan mengalami kesukaran jika tidak berpindah," katanya kepada Bernama di PPS tersebut, di sini pada Rabu.

Menurut Rohana, dia dan Rohani yang juga ibu tunggal, tinggal bersama di rumah yang dibina di atas tanah nenek mereka, bersama suaminya dan anak-anak.

Walaupun lokasi rumah itu di kawasan rendah serta berdekatan sungai, buat masa ini mereka tiada pilihan lain selain terus menetap di situ.

Rohana yang mempunyai tiga cahaya mata berkata, mereka akan menjadi kumpulan pertama berlindung di PPS dan yang terakhir pulang setiap kali banjir.

Sementara itu, Rohani berkata, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk segera berpindah walaupun pada peringkat awal rumah dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu diambil kerana anak kedua daripada empat anaknya, Nor Atiqah Natasya, 12, juga mengalami kecacatan kaki sepertinya.

"Saya tidak boleh menunggu lama untuk berpindah kerana saya tiada suami, anak saya pula ada masalah kecacatan kaki. Saya rasa tidak selamat dan risaukan keselamatan kami jika tidak cepat pindah," katanya.

Menurutnya, mereka pernah terperangkap seharian tanpa bekalan makanan selepas kawasan rumah dikelilingi banjir sedalam tiga meter.

Pengalaman tersebut katanya, cukup memberi kesan kepada mereka sekeluarga dan sejak peristiwa itu mereka akan berpindah awal setiap kali banjir.

"Kami sedia berpindah ke tempat lain yang lebih selamat didiami jika ada pihak yang dapat membantu," katanya. - Bernama