'Dengan harta, aku ke syurga'

Biarlah segala yang dimiliki jadi wasilah untuk mendapatkan keredaan ALLAH dan menjadi bekalan akhirat

HARTA benda merupakan kurniaan ALLAH SWT yang perlu disyukuri dengan cara menginfakkan ke jalan ALLAH SWT agar ia melorongkan kita ke syurga-NYA.
HARTA benda merupakan kurniaan ALLAH SWT yang perlu disyukuri dengan cara menginfakkan ke jalan ALLAH SWT agar ia melorongkan kita ke syurga-NYA.
A
A
A

SEBELUM menutup mata selama-lamanya, jutawan muda Muslim, Ali Banat, memberikan seluruh hartanya kepada golongan memerlukan.

Pemuda warga Australia itu meninggal dunia pada 29 Mei 2018 dalam usia 36 tahun akibat kanser. Walaupun sudah lima tahun berlalu, namun sumbangannya tidak akan dilupakan sama sekali.

Masakan tidak, sepanjang tiga tahun terakhir hayatnya bergelut dengan penyakit tersebut, beliau dengan rela hati melepaskan kereta mewah, jam tangan dan pakaian berjenama serta lain-lain hartanya untuk diinfakkan, sebagaimana dilaporkan portal berita The International News.

“Ini hadiah kerana ALLAH memberi kesempatan bagi saya untuk berubah,“ katanya menerusi video di YouTube yang pernah disiarkan oleh agensi berita BBC sekitar tahun 2021.

WALAUPUN Ali sudah meninggal dunia lima tahun lalu, namun sifat dermawannya menjadi sebutan ramai sehingga ke hari ini. -Foto: Detik News
WALAUPUN Ali sudah meninggal dunia lima tahun lalu, namun sifat dermawannya menjadi sebutan ramai sehingga ke hari ini. -Foto: Detik News

Bukan itu sahaja, beliau pernah mengunjungi Afrika dan membangunkan sebuah yayasan sosial bagi tujuan mendirikan masjid, madrasah dan membantu ibu tunggal di benua tersebut.

Rupanya keputusan Ali ada perkaitan dengan kehilangan rakannya yang meninggal akibat kanser.

Artikel Berkaitan:

Laman web finance.detik.com melaporkan, Ali yang turut serta mengiringi jenazah rakannya itu sedar, tiada apa-apa yang boleh dibawa ke tanah perkuburan apabila kita sudah tiada lagi di dunia.

“Bahkan, wang yang dimiliki juga tidak akan dibawa. Satu-satunya yang akan dibawa adalah amal kebaikan selama di dunia,“ katanya.

Kisah itu mengingatkan penulis kepada hartawan Arab Saudi, Sulaiman Al Rajhi.

Penulis pernah mencoretkan artikel berkaitan dirinya yang menginfakkan seluruh kekayaannya untuk tujuan wakaf pada September 2020.

Pengasas bersama Bank Al Rajhi itu pernah menyumbangkan sebahagian besar hartanya untuk tujuan amal, membiayai usaha anti-kelaparan dan pendidikan di Arab Saudi sekitar 2011.

Pada tahun itu juga, beliau memilih untuk jadi miskin buat kali ketiga apabila bapa kepada 23 anak itu memindahkan kekayaannya kepada anak-anaknya.

Pada 2013 pula, Sulaiman memindahkan 20 peratus sahamnya di Bank Al Rajhi ke sebuah dana amal yang menanggung namanya, lapor Forbes.com.

Dua ceritera berbeza, tetapi ia menyedarkan kita bahawa kekayaan yang dimiliki tidak boleh dibawa ke alam barzakh. Kisah mereka memberikan inspirasi dan mengingatkan kepada Muslim agar tidak mensia-siakan harta kurniaan ALLAH.

Ketahuilah bahawa harta boleh membawa kita ke syurga andai kita melorongkan penggunaannya ke arah itu. Bagaimanakah caranya?

Bagai sebilah pedang bermata dua

Sinar Islam melontarkan persoalan itu kepada Penolong Pendaftar Kanan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli.

USTAZAH SHALWATI
USTAZAH SHALWATI

Sebelum mengulas panjang lebar tentangnya, beliau mengajak kita untuk mendasari maksud harta menurut perspektif agama.

Jelas beliau, menurut kaca mata Islam, harta ibarat sebilah pedang yang mempunyai dua sisi.

Pendek kata, baik atau buruk kesannya bergantung kepada bagaimana manusia menggunakannya.

“Segala harta yang dimiliki perlu menjadi wasilah mendapatkan keredaan ALLAH dan menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka, di samping amalan ketaatan dan ibadah yang berkait rapat dengannya.

“Harta juga boleh menjadi sebab jauhnya seseorang hamba daripada Tuhan disebabkan kelalaian dan ketamakan mengumpul harta.

“Mengertilah, berjaya atau gagalnya seseorang dalam ujian harta, semuanya tertakluk kepada cara bagaimana dia memperoleh dan membelanjakannya,“ katanya baru-baru ini.

Jangan jadi istidraj

Mengambil ibrah daripada kekayaan yang dimiliki sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Uthman bin ‘Affan dan Abdul Rahman bin ‘Auf, jelas Ustazah Shalwati, kemewahan yang dimiliki tidak menjadi penghalang untuk mereka mendapat kemuliaan dalam Islam.

Bahkan katanya, ketiga-tiga mereka tergolong sebagai antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.

“Sebaliknya, Qarun yang bersifat angkuh dan sombong dengan harta dimilikinya dilaknat oleh ALLAH SWT.

“Berdasarkan dua contoh berlawanan itu, dapat dilihat bahawa baik buruk harta bukanlah terletak pada kepingan kertas mahupun logamnya, tetapi ditentukan oleh sikap pemiliknya,“ ungkapnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Shalwati menjawab: “Apabila seseorang memiliki harta, tetapi tidak membelanjakannya ke jalan yang benar, orang tersebut amatlah rugi dalam mencapai darjat di sisi ALLAH SWT. Senario tersebut dinamakan istidraj.“

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, KAMI bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, KAMI timpakan mereka secara mengejut (dengan bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).“ (Surah al-An‘am, ayat 44)

ISLAM sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka, di samping amalan ketaatan dan ibadah yang berkait rapat dengannya.
ISLAM sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka, di samping amalan ketaatan dan ibadah yang berkait rapat dengannya.

Jihad harta Abdul Rahman

Menyambung hujah, Ustazah Shalwati Ramli kemudian menceritakan kisah Abdul Rahman bin ‘Auf yang mempunyai jihad harta yang tinggi jika dibandingkan dengan jihad peperangan.

Jelas beliau, sahabat Nabi Muhammad SAW itu bukan calang-calang kerana Abdul Rahman diberi kelebihan oleh ALLAH SWT dengan memiliki kekayaan melimpah-ruah melalui hasil perniagaannya, tetapi semua itu tidak sedikit pun membuatkannya lupa diri.

“Malah, beliau sentiasa menafkahkan hartanya ke jalan ALLAH. Saat dikhabarkan beliau antara sahabat yang dijamin syurga, Abdul Rahman begitu berkorbar-kobar untuk bersedekah dan memberikan hartanya untuk jalan ALLAH,” katanya.

Sekiranya disingkap satu persatu, terlalu banyak harta yang diinfakkan oleh sahabat Rasulullah SAW itu.

Antara lain beliau pernah menyumbang 40,000 dirham emas, 40,000 dirham perak, 500 ekor kuda dan 1,500 ekor unta untuk keperluan perjuangan menegakkan Islam.

KEHEBATAN jihad harta Abdul Rahman bin 'Auf begitu tinggi, tetapi beliau sentiasa hidup bersederhana hingga ke akhir hayatnya. -Gambar hiasan
KEHEBATAN jihad harta Abdul Rahman bin 'Auf begitu tinggi, tetapi beliau sentiasa hidup bersederhana hingga ke akhir hayatnya. -Gambar hiasan

“Meskipun dilimpahi kekayaan, Abdul Rahman hidup secara sederhana sehingga akhir hayatnya. Bahkan beliau menganggap dirinya sebagai pemegang harta ALLAH,” katanya sambil menjelaskan bahawa sahabat Nabi itu sering menjadi pembiaya angkatan perang Muslim dengan membelikan pelbagai senjata dan keperluan jihad.

Sesungguhnya, benarlah infak ke jalan ALLAH merupakan ‘jalan’ yang memudahkan kita ke jannah.

Andai kita mahu bersedekah, Ustazah Shalwati menitipkan pesanan, biarlah ‘tangan kanan hulur, tangan kiri tidak tahu’.

Ketahuilah bahawa sebaik-baik infak adalah yang dibuat tanpa pengetahuan sesiapa kerana ia adalah tarbiah jiwa yang cukup sukar dilakukan, tetapi hasilnya adalah ikhlas dalam beramal.

“Terus berinfak akan menjadikan hati bertambah suci dan jernih daripada sifat-sifat tercela di samping dapat membersihkan harta yang mungkin tercemar ketika bermuamalah dengan manusia.

“Semoga dengan asbab membelanjakan dan menginfakkan harta ke jalan ALLAH, kita akan tergolong dalam kelompok yang akan masuk ke dalam syurga,” ungkapnya.