Banjir: Pindah sehelai sepinggang, bekalan susu formula isteri makin berkurang

Nor Azhar (kanan) menemani isterinya, Che Nur Amisah yang terlantar akibat strok semasa ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Chendering hari ini. - Foto Bernama
Nor Azhar (kanan) menemani isterinya, Che Nur Amisah yang terlantar akibat strok semasa ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Chendering hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Siapa sangka sepanjang lima tahun menginap di Kampung Gong Tok Nasek di sini, akhirnya buat kali pertama memaksa Nor Azhar Abdul Razak, 67, sekeluarga untuk berpindah akibat banjir.

Lebih malang, mereka keluar sehelai sepinggang ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chendering di sini kerana air naik terlalu cepat, di samping bimbang dengan keselamatan isterinya yang terlantar akibat strok.

Bercakap kepada pemberita di PPS itu, Nor Azhar berkata, susulan itu, dia risau dengan bekalan susu formula isterinya, Che Nur Amisah Muda, 64, yang semakin berkurang kerana hanya sempat membawa setin susu iaitu bekalan terakhir ketika berpindah ke PPS itu bersama isteri dan cucu perempuannya pada 11 pagi semalam.

"Kami datang ke sini tanpa sebarang persiapan. Semuanya berlaku terlalu cepat selain tidak menyangka sama sekali air boleh masuk ke rumah kali ini. Sebab selalunya air sampai ke pintu pagar rumah sahaja," katanya.

Menceritakan kembali kejadian yang disifatkannya sebagai perit bagi penghujung 2023 itu, Nor Azhar yang bekerja sendiri berkata, air mulai naik sehingga paras paha pada jam 9 pagi selepas hujan lebat berterusan sejak jam 11 malam sebelumnya.

"Masa itu saya masih berbolak-balik sama ada nak pindah atau tidak. Ada orang kampung dan anggota penyelamat tanya sama ada saya mahu ke PPS atau tidak. Tetapi memikirkan keadaan orang rumah (isteri), saya buat keputusan berpindah walaupun berat," katanya sambil memaklumkan beliau tidak sempat menyelamatkan perkakas rumahnya yang lain.

Sebanyak 10 orang termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berusaha mengangkat isterinya untuk dibawa ke PPS itu, katanya dan menambah enam lagi ahli keluarganya akan menyusul berpindah ke PPS itu kerana sedang mengemas barang keperluan untuk dibawa ke pusat pemindahan berkenaan.

Ketika ditanya apakah keperluan paling utama buat dirinya dan keluarga ketika ini, sambil mengangkat tin susu formula isterinya yang cuma tinggal separuh, Nor Azhar berkata, itulah bentuk bantuan paling diperlukannya.

Artikel Berkaitan:

"Pertama kali berpindah ke PPS, saya boleh katakan pengurusan pihak yang terbabit amat membantu. Saya berpuas hati sebab semuanya berjalan lancar. Cuma kalau boleh, saya harap ada yang dapat menolong untuk bekalan susu isteri saya,” katanya yang tidak sempat menambah bekalan susu formula isterinya yang dibeli di farmasi berdekatan susulan banjir yang berlaku sekelip mata.

Nor Azhar merupakan sebahagian daripada 187 mangsa daripada 55 keluarga berlindung di PPS berkenaan yang kini difahamkan hampir mencapai kapasiti maksimumnya.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, data oleh APM menunjukkan Kuala Terengganu sebagai daerah kedua di Terengganu yang mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu sebanyak 654 orang selepas Kuala Nerus (740), manakala Marang dan Setiu masing-masing merekodkan 259 dan 26 orang, menjadikan keseluruhan mangsa dilaporkan sejumlah 1,679 orang.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya memaklumkan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam daerah ini telah ditutup sepenuhnya setelah dinaiki air sedalam 0.25 meter, manakala lima batang jalan yang lain antaranya Jalan Bukit Payong-Pengadang Buloh-Chendering dan Jalan Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting pula ditutup untuk kenderaan ringan.

Terengganu merupakan antara negeri yang diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) akan menerima taburan hujan lebat susulan Monsun Timur Laut bermula 11 November lepas dan dijangka berterusan hingga Mac tahun hadapan. - Bernama