Sering kongsi kisah inspirasi, Wan Akmal kini genggam ijazah

Wan Akmal Nazirah memperoleh Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dalam Majlis Konvokesyen Ke-67 UTM, Johor Baharu pada Isnin
Wan Akmal Nazirah memperoleh Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dalam Majlis Konvokesyen Ke-67 UTM, Johor Baharu pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah pempengaruh Instagram, Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah, 23, yang memperoleh Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dalam Majlis Konvokesyen Ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Isnin.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang yang memiliki kira-kira 17,000 pengikut di Instagram itu bersyukur kerana berjaya mengecap impiannya selepas menyambung pengajian di UTM sejak 2018.

Wan Akmal Nazirah yang kini bekerja sebagai jurutera di Pengerang Refining And Petrochemical (PRefChem) di Pengerang, Kota Tinggi berkata, beliau mula bergiat sebagai pempengaruh sejak di bangku sekolah menengah.

Beliau berkata, perkongsiannya dalam media soial tersebut lebih fokus kisah inspirasi dalam pembelajaran serta gaya hidup atau trend terkini.

"Antara topik yang selalu diketengahkan selain daripada kolaborasi dengan syarikat tertentu untuk mempromosikan produk adalah berkaitan pembelajaran, kehidupan universiti dan perkongsian ilmu dimiliki.

"Saya juga mengalu-alukan mereka yang ingin berkongsi ilmu yang diketahui dengan saya supaya ia boleh dikongsi dalam kalangan lebih ramai pengguna pengguna media sosial," katanya ketika ditemui.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, semasa di UTM beliau membahagi masa dengan memberi keutamaan sebagai penuntut terlebih dahulu terutama apabila ada tugasan atau peperiksaan sebelum memberi perhatian sebagai pempengaruh.

"Sebagai contoh, ketika perlu menyiapkan projek akhir tahun saya dan pada masa saya saya menerima jemputan sebagai pempengaruh, saya menyiapkan dahulu projek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bersyukur kerana perhatian diberikan itu membuahkan hasil apabila merangkul tempat pertama dalam pertandingan Three Minutes Final Year Project (3MFYP) dan juga dinobatkan sebagai 'Best Undergraduate Research' dalam Undergraduate Research Conference 2023 UTM pada Jun lalu.

"Tidak semestinya menjadi pempengaruh itu seharusnya tidak berilmu, visi saya adalah untuk melihat masyarakat sekeliling menjadi lebih baik dengan perkongsian bermanfaat," ujarnya.

Pada masa sama katanya, pengalaman sebagai pempengaruh membolehkannya belajar cara berkolaborasi dan menguasai kemahiran komunikasi selain yakin ilmu bakal membawa seseorang insan serta membekalkan dengan apa yang perlu secukupnya di dunia mahupun akhirat.

Wan Akmal Nazirah berpendapat, setiap golongan kekal relevan apabila bersedia untuk berubah mengikut peredaran zaman.

"Moving with the times, kita kekal relevan apabila kita sentiasa tercabar dengan kadar perubahan zaman dan sekiranya kita menjadi masyarakat yang berilmu, sudah tentu lebih mudah untuk kita menerima dan memanfaatkan perubahan.

"Kita tahu keperluan diri untuk terus bergerak maju, sesuai dengan arus perubahan zaman, kita mungkin ketinggalan atau dilupai sekiranya kekal di teknologi lama," katanya.

Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTM 2020-2021 itu berkata, semua adik-beradiknya bergelar graduan dan mereka yang memotivasikannya untuk melanjutkan pengajian.

Malah beliau juga menjadikan bapanya sebagai inspirasi kerana walaupun sibuk dengan urusan perniagaan, lelaki itu gigih membesarkannya selepas ibunya meninggal dunia ketika dirinya masih kecil.

"Insya-ALLAH apabila tiba masanya, saya juga akan sambung belajar.

"Buat masa ini saya fokus kepada kerjaya dan mengembangkan ilmu serta menabur bakti dalam bidang kejuruteraan.

"Malah saya juga akan terus mencipta bahan inspirasi terutama bagi memupuk minat golongan muda dalam pembelajaran dan bidang kejuruteraan," katanya.