Seksyen 6 WCE dibuka esok, tol dikecualikan hingga 2 Januari 2024

Plaza tol Assam Jawa WCE yang akan beroperasi bermula jam 12.01 pagi Selasa.
Plaza tol Assam Jawa WCE yang akan beroperasi bermula jam 12.01 pagi Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjimatkan masa perjalanan 30 minit dari Kapar ke Assam Jawa, Ijok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuhraya WCE melibatkan Seksyen 6 dengan jajaran sepanjang 21.8 kilometer (km) itu memerlukan 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

Menurut beliau, lebuh raya itu dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula dari jam 12.01 pagi Selasa.

"Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara (Kapar) ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa di Plaza Tol Assam Jawa WCE di sini pada Isnin.

Nanta berkata, pengecualian tol juga akan diberikan sempena pembukaan lebuh raya itu sehingga 2 Januari tahun depan.

Jelas beliau, pengguna lebuh raya yang memasuki Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah menikmati tol percuma terbabit.

"Manakala bagi pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Seksyen 5 iaitu dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan (NNKSB) ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah, nilai kadar tol Seksyen 5 sedia ada mengikut jenis kelas kenderaan masing-masing akan dikenakan seperti biasa," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Nanta (dua dari kanan) pada simbolik perasmian sempena pembukaan persimpanagn bertingkat Bandar Bukit Raja Utara, Kapar ke persimpangan bertingkat Assam Jawa WCE di Plaza Tol Assam Jawa WCE pada Isnin.
Nanta (dua dari kanan) pada simbolik perasmian sempena pembukaan persimpanagn bertingkat Bandar Bukit Raja Utara, Kapar ke persimpangan bertingkat Assam Jawa WCE di Plaza Tol Assam Jawa WCE pada Isnin.

Nanta memberitahu, pemberian tol percuma menjadi amalan kelaziman setiap kali kerajaan membuka lebuh raya baharu kepada pengguna.

"Kita mengambil kira beberapa faktor antaranya cuti sepanjang Disember ini seperti Tahun Baharu dan sebagainya," kata beliau.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Nanta berkata, komitmen kerajaan dalam membina rangkaian lebuh raya secara lebih terancang, sistematik dan cekap bagi meningkatkan kesalinghubungan rakyat di kawasan pesisiran Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jelas beliau, Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara negeri iaitu Selangor dan Perak.

Katanya, laluan berkenaan melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Selangor dan seterusnya menyambung jajarannya di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas sehingga ke Taiping di negeri Perak.

Beliau memberitahu, terdapat dua jajaran di Jalan Persekutuan 5 (FT5) yang bergabung terus dengan lebuh raya terbabit.

"Jajaran bebas tol ini iaitu antara Tanjong Karang ke Sabak Bernam sepanjang 50km dan Teluk Intan ke Lekir sepanjang 32.8km telah dinaik taraf oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan peralihan yang lancar dan selesa buat pengguna," tambahnya.