Tujuh lelaki Jepun disyaki anggota sindiket 'phone scam' diberkas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh lelaki warga Jepun disyaki anggota sindiket 'phone scam' diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di ibu negara, pada 13 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kedutaan Jepun di Malaysia berhubung kegiatan terbabit pada hari sama.

“Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan 'phone scam' menggunakan aplikasi Skype untuk menghubungi mangsa dan menyasarkan warga Jepun,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JSJK di sini pada Isnin.

Ramli - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramli - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ramli berkata, modus operandi sindiket adalah menyamar sebagai pegawai bank dan menghubungi mangsa lalu memaklumkan bahawa terdapat masalah membabitkan akaun milik mereka.

"Mangsa kemudian akan diminta untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam satu akaun yang diberikan oleh ahli sindiket berkenaan jika hendak menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas 11 telefon bimbit, sebuah modem, satu plastik hitam mengandungi beberapa barangan elektronik yang tidak sempurna, sebatang tukul besi dan serangkai anak kunci dalam serbuan itu.

"Kesemua suspek direman empat hari sehingga 16 November lalu sebelum disambung reman sehingga semalam (Ahad).

Artikel Berkaitan:

"Mereka kini ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ramli berkata, walaupun penglibatan warga Jepun dalam kegiatan penipuan di Malaysia jarang didengar, namun sindiket gigih mencari pelbagai cara baharu untuk mencari mangsa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa cakna dengan modus operandi terkini berkaitan penipuan agar tidak terjerumus ke dalam perangkap mereka,” katanya.