Terpaksa patah balik ke rumah, sekolah anak dinaiki air

Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk terjejas di padang SK Padang Negara, Kuala Terengganu. - Foto Ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk terjejas di padang SK Padang Negara, Kuala Terengganu. - Foto Ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita terpaksa berpatah balik ke rumah setelah mendapati sekolah anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman di sini tidak beroperasi kerana dinaiki air pada Isnin.

Nor Husni Yusof, 40, berkata, dia tidak menjangka sekolah berkenaan dinaiki air kerana tidak perasan notis yang dihantar guru melalui grup pesanan mudah alih WhatsApp.

"Sekolah ni memang biasa naik air. Sebelum ni pun kalau hujan air akan naik. Kebanyakannya air naik sikit sahaja tak tenggelam banyak.

"Tak sangka pula hari ini air naik sampai sekolah terpaksa tutup. Mungkin juga banjir kilat dan saya diberitahu air mula naik jam 3 pagi tadi," katanya yang mempunyai dua anak bersekolah di situ.

Difahamkan, tiga buah sekolah di daerah ini ditutup setelah dilanda banjir sejak awal pagi Isnin menyebabkan sesi pembelajaran terpaksa ditukar kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Antara sekolah terlibat ialah SK Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata, kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air dan menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa.

"Pihak pengurusan telah memutuskan untuk tidak membenarkan murid-murid hadir ke sekolah yang terjejas kerana isu keselamatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, semua guru dan murid yang terlibat akan belajar seperti biasa melalui mod PdPR.

"Jabatan juga sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah yang lain kerana hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan segera kepada ibu bapa untuk tindakan mereka," katanya.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Malik dan SK Wakaf Mempelam turut dinaiki air.

Difahamkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah berkenaan berjalan seperti biasa kerana pelajar dipindahkan ke kelas lain yang lebih selamat.