Bahan letup batu kuari hilang dipercayai tercicir

Satu kotak berisi 30 bahan letupan jenis cast booster 400GMS telah berkurangan dipercayai tercicir ketika dalam perjalanan ke kuari di Puchong pada Ahad. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
Satu kotak berisi 30 bahan letupan jenis cast booster 400GMS telah berkurangan dipercayai tercicir ketika dalam perjalanan ke kuari di Puchong pada Ahad. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
A
A
A

KUALA LANGAT - Sejumlah bahan letupan yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja meletupkan batu di sebuah kuari hilang selepas tercicir dalam kejadian pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, bahan letupan terbabit dibawa menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

"Kenderaan pacuan empat roda itu dinaiki dua individu membawa bahan letupan berkenaan dari Batu Arang menuju ke kuari yang terletak di Puchong.

"Siasatan mendapati ketika kenderaan terbabit melalui Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang (SILK), pemandu kenderaan itu menyedari terdapat sebuah kereta lain telah memberi isyarat lampu dari arah belakang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pemandu berkenaan kemudiannya memberhentikan kenderaan dan mendapati but belakang pacuan empat roda itu terbuka.

"Pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengambil masa lama ketika berhentikan kenderaan memandangkan keadaan jalan ketika itu agak sibuk dan berbahaya.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, pemandu terbabit kemudiannya meneruskan semula perjalanan," katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan dan rakannya menyedari kehilangan bahan letupan terbabit kira-kira jam 8.25 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Kehilangan disedari kedua individu terbabit ketika sedang membawa turun bahan letupan itu ketika tiba di kuari berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati satu kotak berisi 30 bahan letupan jenis cast booster 400GMS telah berkurangan," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, pemandu pacuan empat roda itu kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kehilangan bahan letupan berkenaan kira-kira jam 10.28 malam.

"Polis difahamkan pemandu berkenaan bersama rakannya telah pergi semula ke lokasi yang dilalui mereka. namun bahan letupan terbabit gagal ditemui.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai membabitkan bahan letupan," katanya.