Penduduk didedah elak ditipu scammer, cara hadapi kebakaran

Ahli Persatuan Penduduk GAMM, Alam Suria Seksyen 16 (5A4) bergambar bersama polis dan anggota bomba sempena Program Keselamatan dan Temu Santai GAMM 2023.
Ahli Persatuan Penduduk GAMM, Alam Suria Seksyen 16 (5A4) bergambar bersama polis dan anggota bomba sempena Program Keselamatan dan Temu Santai GAMM 2023.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Persatuan Penduduk GAMM, Alam Suria Seksyen 16 (5A4) pada Sabtu, mengambil inisiatif mengadakan Program Keselamatan dan Temu Santai GAMM 2023 bagi memberi kesedaran ditipu scammer dalam talian dan tahu cara hadapi kebakaran.

Program bertemakan Kejiranan Cakna GAMM Muhibbah itu mendapat kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dan kesedaran cegah kebakaran oleh Bomba Sukarela Saujana Utama.

Program yang berlangsung di Alam Suria Puncak Alam itu, disempurnakan oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram yang juga Pegawai Khas, Ezuan Miswan.

Pengerusi Persatuan Penduduk GAMM, Mohd Fidtree Md Rosli berkata, Persatuan Penduduk GAMM baru-baru ini, adalah antara pertubuhan yang mendapat Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) berjumlah RM10,000 daripada Pertubuhan Syarikat Malaysia (ROS).

"Program tersebut sejajar dengan matlamat geran berkenaan bagi membantu persatuan penduduk melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelawan untuk keselamatan komuniti setempat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, program tersebut diadakan buat julung kali sekali gus memberi manfaat geran sumbangan kepada penduduk perumahan Alam Suria 5A4.

Dalam pada itu, penceramah Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sungai Buloh, Inspektor Mohammad Safbihin Safbani berkata, sesiapa sahaja boleh kena tipu dengan penipuan menerusi media sosial atau panggilan telefon yang mendakwa mereka boleh beri pinjaman wang serta pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak masuk akal.

"Berikutan penipuan 'scammer' terhadap orang ramai makin meningkat, jadi kesedaran penduduk terutama penduduk perlu ditingkatkan juga supaya mereka maklum penipuan yang sedang berleluasa kini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, mangsa penipuan sekitar daerah ini kebanyakannya adalah daripada mereka yang sudah punya wang tapi mahu gandakan lagi terus lesap semua.

Tambahnya, diharapkan orang ramai jika tak pasti atau semak dulu dengan pihak tertentu terutama pihak berkuasa sebelum berurusan dengan mereka yang menawarkan keuntungan atau pelaburan tertentu.

"Agak mengejutkan ketika mereka datang buat laporan kena tipu di balai polis tertentu sebenarnya pernah hadiri ceramah seperti ini sebelumnya. Jadi perlu lebih berhati-hati sebab mereka licik menipu," ulasnya.

Dalam program kesedaran kebakaran pula, Ketua Balai Bomba Sukarela Saujana Utama, Azman Abdul Razak berkata, insiden kebakaran boleh berlaku tanpa diduga di mana, isi rumah berdepan risiko kebakaran yang tinggi jika peralatan seperti gas memasak dan elektrik tidak diurus dengan betul.

Beliau berkata, penduduk juga perlu diberi kesedaran mengenai keselamatan persekitaran, langkah pencegahan dan tugas serta tanggung jawab Bomba Sukarelawan Saujana untuk mengingatkan sesiapa saja supaya lebih berhati-hati.

Katanya, program itu diharap dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan penduduk seterusnya mengambil langkah yang proaktif dan berhati-hati dalam mengendalikan peralatan yang berisiko mencetuskan kebakaran.

Antara program yang dijalankan ialah taklimat dan penerangan mengenai bahaya kebakaran, pencegahan dan cara menanganinya.

Demonstrasi jentera bomba dan cara memadam kebakaran turut diadakan di samping beberapa penduduk secara sukarela terbabit memadam kebakaran berkenaan.