ecoBrown's anjur acara larian tingkat kesedaran diabetes

Ken Jin (kiri) membuat pelepasan acara larian 'Miles with ecoBrown's' yang diadakan Esplanade, Padang Kota Lama pada Ahad.
Ken Jin (kiri) membuat pelepasan acara larian 'Miles with ecoBrown's' yang diadakan Esplanade, Padang Kota Lama pada Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN - Lebih 1,500 peserta mengambil bahagian dalam acara larian 'Miles with ecoBrown's' yang diadakan Esplanade, Padang Kota Lama dekat sini pada Ahad.

Pengurus Kanan Kumpulan Serba Wangi Sdn Bhd, Chua Keng Jin berkata, acara walkathon yang dianjurkan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit diabetes.

Menurutnya, melalui dapatan Persekutuan Diabetes Antarabangsa seramai 463 juta orang berumur 20 hingga 79 menghidap diabetes pada 2019.

Malah katanya, menjelang 2045, jumlah ini dijangka meningkat kepada 700 juta dan Malaysia tidak terkecuali daripada wabak global ini.

"Selaras dengan data daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019) juga menunjukkan peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019.

"Peningkatan peratusan ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa kesedaran berkenaan penyakit berbahaya ini dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

"Oleh itu, untuk tahun ketiga berturut-turut, Serba Wangi Sdn Bhd, melalui salah satu jenama terkemuka mereka, ecoBrown's dan produk pilihan ramai, ecoBrown's Steam Brown Rice, sekali lagi akan menganjurkan Miles with ecoBrown's 2023 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit diabetes ini," katanya ketika berucap sebelum pelepasan acara larian itu, di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan acara berkenaan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

Artikel Berkaitan:

Keng Jin berkata, penganjuran acara itu sejajar dengan objektif ecoBrown's itu sendiri iaitu untuk memberikan pilihan gaya hidup yang sihat, dengan mengamalkan pemakanan yang bernutrisi kepada para pengguna.

Katanya, acara larian Miles with ecoBrown's itu yang diadakan sempena Bulan Diabetes Kebangsaan turut dijayakan bersama ITSU sebagai penaja utama.

Jelasnya, pada tahun ini juga, terdapat dua alternatif walkathon dengan jarak keseluruhan 4 kilometer akan diadakan iaitu secara maya dan juga secara langsung.

Tambah beliau lagi, melalui penganjuran acara itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM 25,000 akan disumbangkan kepada Diabetes Malaysia.