'Saya datang sini nak tabur bakti' - Raja Affandi

Raja Mohamed Affandi (kiri) dalam Wawancara Khas PRK Kemaman yang disiarkan di Facebook Barisan Nasional.
Raja Mohamed Affandi (kiri) dalam Wawancara Khas PRK Kemaman yang disiarkan di Facebook Barisan Nasional.
A
A
A

KEMAMAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sekali lagi menegaskan bahawa beliau adalah anak jati Kemaman dan bukannya orang luar sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

Menurutnya, walaupun lahir di Besut, tetapi beliau membesar di Kemaman.

"Ibu bapa saya dikebumikan di sini, begitu juga dengan adik beradik. Jadi, agak-agak kalau nak kata orang luar, tak luarlah.

"Saya telah berkorban dan datang sini nak tabur bakti. Tapi, tiada makna kalau tak dapat dukungan dan sokongan.

"Saya bertanding sebab cakna. Kemaman ini untuk orang Kemaman," katanya dalam Wawancara Khas PRK Kemaman yang disiarkan di Facebook Barisan Nasional.

Tambah Raja Mohamed Affandi, beliau tidak memandang rendah lawannya yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari Pas.

Beliau yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan pertempuran pilihan raya tidak banyak berbeza dengan medan perang.

"Dalam perang, ada musuh dan medan atau kawasan serta elemen lain iaitu manusia dan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Dalam politik juga sama, ada musuh atau lawan, medan dan elemen orang-orangnya. Dalam hal ini, rakyat. Bila jumpa, kita kena yakinkan apa yang nak dibuat.

"Cuma akhirnya tiada orang mati. Jadi, untuk membolehkan kejayaan, elemen 'ground' itu kita ada manusia," jelasnya.

Beliau turut menaruh keyakinan dengan jentera pilihan raya yang ada mampu mengubah situasi, seterusnya membantu kemenangan BN di Kemaman.

"Daripada satu perkara yang kita rasa agak sukar sebenarnya tidak. Gunakan elemen yang ada untuk mengatasi kekuatan.

"Sebagai askar, kita tak pandang rendah kepada seteru tapi pada masa yang sama, jangan takut padanya. Sebab itu, kebarangkalian untuk mengatasi lebih tinggi," ujar beliau.

Bekas Panglima ATM ke-19 itu bersara pada 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada negara selama 42 tahun.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dan pengundian awal pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.