Polis tahan lima lelaki disyaki terlibat rompakan berkumpulan

Keadaan di ruang tamu kediaman pengadu di Taman Ampang Mewah. Gambar kecil: Mohd Azam Ismail.
Keadaan di ruang tamu kediaman pengadu di Taman Ampang Mewah. Gambar kecil: Mohd Azam Ismail.
A
A
A

AMPANG - Seramai lima lelaki diberkas kerana disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah kedai di Taman Ampang Mewah dekat sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketika kejadian teman wanita memaklumkan kepada mangsa ada lima lelaki memasuki ke dalam rumah sewa terbabit pada jam 4.30 pagi.

"Pengadu berusia 26 tahun yang juga pembantu kedai runcit segera pulang ke rumah dan mendapati pintu rumah tersebut telah rosak dan terbuka.

"Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati lima suspek sedang memukul dua lelaki warga Myanmar tidak dikenalinya di ruang tamu kediaman berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, salah seorang suspek telah masuk ke dalam bilik pengadu dan mengambil dompet berisi wang tunai kira-kira RM400 serta topi keledar.

"Seterusnya, kesemua suspek beredar meninggalkan rumah dengan membawa dua lelaki warga Myanmar tersebut," katanya.

Kereta yang dirampas untuk membantu siasatan. Barangan yang turut dirampas untuk membantu siasatan.
Kereta yang dirampas untuk membantu siasatan. Barangan yang turut dirampas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 26 tahun itu berjaya diberkas sepasukan anggota polis pada jam 10.05 pagi hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati, semasa kejadian suspek dalam keadaan mabuk telah memukul dua lelaki warga Myanmar juga dalam keadaan sama di bawah rumah kedai itu.

"Suspek telah membawa dua lelaki itu naik dan memecah masuk ke dalam rumah pengadu dengan alasan penghuni kediaman tersebut telah mencampakkan pasir dari tingkat atas," ujarnya.

Mohd Zaid berkata, pihak polis telah merampas sebuah kereta, dua topi keledar, satu kunci kereta dan sebatang paip Polyvinyl Chloride (PVC).

"Semakan lanjut mendapati hanya empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.