Polis kesan lima lelaki bergaduh tengah jalan

Tangkap layar video tular menunjukkan lima lelaki terlibat dalam pergaduhan di Tanjung Rambutan, Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video tular menunjukkan lima lelaki terlibat dalam pergaduhan di Tanjung Rambutan, Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan dengan menggunakan rotan di tengah jalan Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan - Tambun dekat Tanjung Rambutan di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dijalankan selepas video kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp pada Jumaat.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian sekitar jam 5.30 petang itu melibatkan lima lelaki warga tempatan.

"Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan mengesan individu-individu yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Polis mengesan lima lelaki warga tempatan yang bergaduh di tengah jalan di Tanjung Rambutan, Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca
Polis mengesan lima lelaki warga tempatan yang bergaduh di tengah jalan di Tanjung Rambutan, Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan menggunakan senjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.

Terdahulu pihak polis telah mengesan satu video berdurasi 16 saat memaparkan tiga lelaki dengan dua daripadanya memegang rotan memukul mangsa beberapa kali hingga jatuh sementara dihalang seorang lelaki.

Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya yang melalui lokasi tersebut.