Mawi doakan Ina Naim terus tabah, kuat

Laporan Sinar Harian. Mawi (kanan).
Laporan Sinar Harian. Mawi (kanan).
A
A
A

PENYANYI Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi mendoakan agar Nordiana Mohd Naim, 39, diberikan kekuatan di atas kehilangan suaminya yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Mohd Suhaimi Saad.

Penyampai radio itu berkata, Nordiana atau Ina dan anak-anaknya perlu terus tabah dengan ujian tersebut.

"Saya sentiasa mendoakan semoga keluarganya dalam keadaan kuat. Kita hanya mampu berdoa tetapi yang memberi kekuatan adalah ALLAH SWT.

"Kita doakan juga semoga ALLAH SWT pilih dia (Mohd Suhaimi) sebagai kekasih-Nya," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Mawi dan Ina pernah bertunang pada 10 Februari 2004, namun putus pada 10 Julai 2006 dan setahun selepas itu, Ina berkahwin dengan Allahyarham Mohd Suhaimi pada 12 Ogos 2007.

Hasil perkahwinan tersebut, Ina dan Mohd Suhaimi dikurniakan empat orang cahaya mata.

Mohd Suhaimi meninggal dunia pada jam 7.40 malam Rabu lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Tambah Mawi, dia bersyukur masyarakat banyak bercakap tentang perkara baik yang dilakukan Allahyarham Mohd Suhaimi ketika hayatnya.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah kalau ramai bercerita kebaikan kita kerana ia satu petanda baik, yang takut kalau orang cakap tentang keburukan.

“Boleh jadi contoh dan inspirasi tapi janganlah buat baik sebab nak orang puji kita selepas mati, niat sudah lari. Sebenarnya buat baik ini biarlah ikhlas.

“Esok kita mati orang hendak cerita baik atau sebaliknya, terserah kepada ALLAH. Cuma yang masih ada peluang di dunia ALLAH bagi ini, banyak-banyaklah buat kebaikan. Kalau ada rezeki lebih, berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.