Nafas perkasa program CSR bela ahli, asnaf

Mohd Hisyamuddin (belakang, empat dari kiri) bersama penerima kelengkapan sekolah sempena Program Jom Ke Sekolah di Pasir Mas semalam.
Mohd Hisyamuddin (belakang, empat dari kiri) bersama penerima kelengkapan sekolah sempena Program Jom Ke Sekolah di Pasir Mas semalam.
A
A
A

PASIR MAS - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membela nasib ahli dan golongan petani secara telus di peringkat akar umbi.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, agihan sumbangan di bawah program CSR itu merupakan hasil keuntungan yang diperoleh Nafas menerusi aktiviti perniagaan antaranya kontrak baja subsidi setiap tahun dan juga perniagaan syarikat-syarikat subsidiari.

Katanya, antara program CSR Nafas ialah Jom Ke Sekolah, Kasih Peladang (agihan wakalah zakat), Reformasi Peladang serta Skuad Bantuan Banjir dan juga beberapa program lain yang dilaksanakan mengikut keperluan semasa.

“Program CSR Nafas kali ini dirancang pelaksanaannya secara menyeluruh untuk ahli Peladang dan juga masyarakat setempat.

“Nafas bangkit memperkasakan program CSR dengan tujuan berkongsi segala hasil keuntungan kepada seluruh ahli termasuklah golongan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Ke Sekolah yang melibatkan 300 pelajar dari kawasan Chetok, Apam Putra dan Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdul Hamid (1) di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas, Bahari Daud.

Menurut Mohd Hisyamuddin, penerima bantuan yang kebanyakannya terdiri daripada ahli dan golongan asnaf itu bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan dalam menyediakan barangan keperluan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini seramai 3,200 pelajar dari golongan B40 di seluruh negara telah menerima manfaat tersebut.

Mohd Hisyamuddin berkata, selain Kelantan, program itu turut berlangsung di beberapa negeri lain antaranya Kedah, Johor, Perlis, Pahang dan Selangor.

Sementara itu, Norapizan Ghazali, 50, mengakui teruja menjadi salah seorang penerima manfaat tersebut.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, sumbangan tersebut amat membantu dalam meringankan beban perbelanjaan untuk sesi persekolahan anak-anaknya bagi tahun 2020.

“Saya berterima kasih kepada Nafas kerana membela nasib kami,” katanya.