Tiga tahun selesai isu rumah tidak terjual di Johor

Mohd Jafni (tengah) melawat Residensi Larkin Indah di Larkin, Johor Bahru pada Sabtu.
Mohd Jafni (tengah) melawat Residensi Larkin Indah di Larkin, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mahu menyelesai isu hartanah tidak terjual terutama melibatkan kediaman bertingkat dalam tempoh tiga tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan trend peningkatan pembelian hartanah khususnya di Bandar Raya Johor Bahru ketika ini.

"Pelbagai faktor menjadi penyumbang termasuklah pembinaan kemudahan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura, Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dan juga Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City.

"Di Johor ketika ini daripada segi pembangunan sektor hartanah, memang sedang berkembang pesat apabila suku pertama tahun ini menunjukkan peningkatan jualan hartanah sebanyak 17 peratus berbanding suku pertama tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pecah Tanah dan Perasmian Galeri Paragon Gateway di sini pada Sabtu ini.

Tahun lalu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dilaporkan berkata, terdapat lebih 34,000 kediaman siap dibina tidak terjual bernilai RM21.7 bilion di seluruh negara dengan Johor merupakan penyumbang utama.

Mengulas lanjut Mohd Jafni berkata, isu hartanah tidak terjual atau 'property overhang' semakin berkurangan di Johor apabila pembeli termasuk dari luar Johor sama ada dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang mahupun warga Singapura mula membeli hartanah di sini.

"Jika kita lihat hartanah di R&F misalnya, hampir keseluruhan 2,000 unit telah terjual, manakala hartanah di Danga Bay dan Country Garden juga menunjukkan penjualan unit sehingga 70 peratus masing-masing dan jumlah itu terus meningkat," katanya.

Katanya, Johor merekodkan bilangan kediaman 'overhang' tertinggi dalam negara iaitu lebih 6,000 unit kediaman bernilai RM4.7 bilion, manakala Pulau Pinang di kedudukan kedua dengan lebih 5,000 unit kediaman bernilai RM3.64 bilion.

Artikel Berkaitan: