'Isu A&W tak pengaruhi pengundi Kemaman' - Tok Mat

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hari penamaan calon bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hari penamaan calon bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Isu melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan penolong pegawai di J-KOM tidak mempengaruhi sentimen pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang diadakan 2 Disember ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan isu tersebut tidak ada kaitan dengan Kemaman sehingga menyebabkan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) terjejas pada PRK nanti.

"Tak relevan langsung... tak ada kena mengena pun dengan Kemaman. Orang Kemaman pun tak kisah sangat.

"A&W (Agus dan Wahab) ke, McDonald's ke atau Kentucky... Jadi kita tak usah pening-pening kepala.

"Saya harap supaya jentera kita menjalankan gerak hasil yang terbaik dan pastikan kita menyantuni seramai mungkin pengundi untuk keluar mengundi BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hari penamaan calon bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman dekat sini pada Sabtu.

Baru-baru ini, satu video mirip mirip Mohammad Agus tersebar di media sosial menerima kecaman pelbagai pihak.

Mohammad Agus pada Khamis mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Agus berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan tersebut.

Pada Jumaat, Mohammad Agus dan Abdul Wahab mendakwa video perbualan songsang yang dikaitkan dengan mereka adalah komplot dilakukan seorang individu bergelar 'Mr H' untuk menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, BN meletakkan calon terbaik iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk bertanding di Parlimen tersebut.

"Walaupun Tan Sri Raja Mohamed Affandi ini banyak berada di Kuala Lumpur tetapi jasa beliau banyak di sini (Kemaman) seperti banjir besar dahulu pada tahun 2013.

"Jasa beliau terhadap negara dan jasa sebagai Panglima ATM telah membawa imej angkatan tentera ke tahap lebih tinggi.

"Insya-ALLAH menang. Kita sebagai 'underdog' dalam pilihan raya kecil ini di mana senang untuk kita bekerja," ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Mereka terdiri daripada bekas Panglima ATM, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari BN dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pas pada 3 Oktober lalu pula memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.