UMPSA kumpul dana bantu pelajar Palestin

Dr Yuserrie menyerahkan sumbangan kepada Yasin Y Albarqouni dalam satu majlis di UMPSA Kampus Pekan pada Jumaat.
Dr Yuserrie menyerahkan sumbangan kepada Yasin Y Albarqouni dalam satu majlis di UMPSA Kampus Pekan pada Jumaat.
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menggerakkan kutipan sumbangan bagi membantu pelajar dari Palestin yang sedang mengikuti pengajian di universiti itu.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, sumbangan RM15,000 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Yasin Y Albarqouni pada Jumaat.

Menurutnya, Yasin Y Albarqouni merupakan penuntut Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses UMPSA dan satu-satunya pelajar dari Palestin di universiti itu.

"Sumbangan ini merupakan hasil kutipan inisiatif Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Yayasan UMP melalui kempen yang telah digerakkan sejak Oktober lalu dalam kalangan warga UMPSA dan masyarakat luar.

"Ia sebagai tanda keprihatinan warga universiti terhadap nasib pelajar ini yang mana kedua ibu bapanya, isteri, adik dan seorang anak kini berdepan penderitaan ekoran peperangan yang meletus di bumi Gaza sejak 7 Oktober lalu," katanya.

Dr Yuserrie menzahirkan rasa syukur apabila dapat menyerahkan sumbangan warga universiti kepada Yasin.

"Pihak universiti akan terus memberi sokongan dan dorongan buat pelajar ini termasuk menyediakan kemudahan penginapan di dalam kampus selain membantu agar pengajiannya tidak terganggu.

"Usaha ini akan diteruskan bagi membantu meringankan beban pelajar ini dan berdoa agar bumi Palestin dapat terus dipertahankan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, bagi yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menyumbang secara dalam talian ke akaun Yayasan UMP- Maybank (556235317085) dan mengisi Yasin Palestine sebagai rujukan penerima.

Selain itu, beliau berkata, UMPSA berjaya mengumpul kutipan RM52,000 menerusi anak syarikat UMPSA (RM30,000) dan RM22,000 sumbangan warga universiti untuk disalurkan tabung rakyat Palestin.