Kenakan hukuman lebih keras terhadap penjual ketum di media sosial - Kamal Affandi

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Tingkatkan denda serta pelbagaikan hukuman yang lebih keras terhadap individu yang didapati menjual air serta daun ketum di media sosial, kata penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Menurut beliau, penjualan menerusi media sosial ini menampakkan golongan ini dilihat semakin liar dan berani sehingga sanggup membelakangi undang-undang yang ditetapkan.

"Tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap individu yang semakin galak menjual serta mempromosikan air dan daun ketum ini dengan meningkatkan jumlah denda.

"Selain itu, mereka ini perlu juga disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kanak-Kanak kerana platform yang digunakan boleh diakses oleh semua golongan termasuk remaja di bawah umur," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, penagih ketum ini turut berada dalam sindrom penafian yang mana seringkali menganggap pengambilan itu atas faktor kesihatan.

"Jika nak sihat adakah perlu minum dalam kuantiti yang banyak sehingga mengkhayalkan, selain itu adakah dengan minum ketum dapat merawat daripada pelbagai penyakit.

"Pada saya semua ini adalah alasan dangkal yang sering digunakan demi memastikan kegiatan ini dilihat sebagai bukan kesalahan, ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab sebenarnya," katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu tampil membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan info berkaitan kegiatan ini kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah melibatkan penjualan air dan daun ketum ini, segera lapor kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera dapat diambil.

"Jangan gusar atau khuatir untuk menyalurkan maklumat kerana setiap pemberi maklumat itu sentiasa dilindungi kerahsiaannya," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan, media sosial kini dijadikan medium oleh segelintir individu untuk mempromosikan jualan air dan daun ketum bagi mengaut keuntungan dengan mudah.

Tinjauan mendapat beberapa hantaran yang dibuat ahli kumpulan terbabit memaparkan aktiviti penjualan selain paparan gambar bungkusan air ketum, cara memasak dan sebagainya.