Grup FB jual air, daun ketum masih aktif

Penjualan air ketum dikesan masih lagi dimuat naik walaupun kegiatan didedahkan Sinar Harian pada Jumaat.
Penjualan air ketum dikesan masih lagi dimuat naik walaupun kegiatan didedahkan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu laman grup Facebook (FB) yang tular selepas dipercayai terdapat aktiviti penjualan air dan daun ketum secara berleluasa dikesan masih lagi aktif setakat ini.

Selain itu, laporan Sinar Harian yang mendedahkan mengenai aktiviti berkenaan turut dikongsikan dalam halaman terbabit.

Tinjauan Sinar Harian setakat jam 4 petang Jumaat mendapati beberapa ahli dalam halaman berkenaan turut meminta pengendali halaman itu supaya meletakkannya hantaran dalam mod privasi bagi mengelakkan sebarang aktiviti penjualan ini diketahui umum.

Selain itu, ada juga antara ahli halaman mengecam tindakan beberapa individu yang memuat naik hantaran berkaitan penjualan air ketum dalam halaman terbabit.

Jelas mereka, halaman itu secara asasnya hanyalah berkaitan mengenai manfaat dan kebaikan ketum telah diambil kesempatan oleh mereka yang mahu mengejar keuntungan dengan menjalankan aktiviti penjualan ketum.

Seorang individu yang mahu dikenali sebagai Halim berkata, tindakan Sinar Harian mendedahkan aktiviti penjualan ketum ini secara berleluasa merupakan tindakan yang baik.

Laporan Sinar Harian berkaitan pembongkaran aktiviti penjualan air dan daun ketum turut dikongsikan dalam halaman berkenaan.
Laporan Sinar Harian berkaitan pembongkaran aktiviti penjualan air dan daun ketum turut dikongsikan dalam halaman berkenaan.

Dia berkata, penjualan secara berleluasa ini dibimbangi akan mengakibatkan kesan khususnya kepada golongan muda.

Artikel Berkaitan:

"Air rebusan ketum ini dijual dengan campuran pelbagai bahan-bahan lain, jadi mana datangnya khasiat kalau begitu caranya.

"Saya bimbang, bila dalam media sosial pun dah terbuka, golongan muda pula akan ramai terjebak dengan ketum ini.

"Saya tak mahu golongan muda hanyut gara-gara ketum ini," katanya.

Individu yang mahu dikenali sebagai Salman berkata, seharusnya pihak berkuasa lebih tegas dalam memantau penjualan ketum menerusi media sosial ini.

"Perkara ini bukan satu benda baharu, ia dah jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tapi tak ramai yang tampil dedahkan,.

"Saya puji langkah Sinar Harian yang berani bongkarkan isu ini.

"Pihak berkuasa saya minta janganlah terlalu selesa, lakukanlah pemantauan dengan mendalam, jangan bila ada aduan baru nak ambil tindakan, sepatutnya mereka perlu lebih proaktif," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan, media sosial kini dijadikan medium oleh segelintir individu untuk mempromosikan jualan air dan daun ketum bagi mengaut keuntungan dengan mudah.

Tinjauan mendapat beberapa hantaran yang dibuat ahli kumpulan terbabit memaparkan aktiviti penjualan selain paparan gambar bungkusan air ketum, cara memasak dan sebagainya.

Turut ditawarkan adalah khidmat penghantaran berdasarkan jarak atau lokasi di beberapa daerah dan negeri.