Jual beli ketum secara 'online'

A
A
A

SHAH ALAM - Media sosial kini dijadikan medium oleh segelintir individu untuk mempromosikan jualan daun dan air ketum bagi mengaut keuntungan dengan mudah.

Perkara itu terbongkar menerusi tinjauan Sinar Harian di satu laman grup mengenai ketum di Facebook.

Tinjauan mendapati beberapa hantaran yang dibuat ahli kumpulan terbabit memaparkan aktiviti penjualan selain paparan gambar bungkusan air ketum, cara memasak dan sebagainya.

Antara perkongsian terbuka yang dibuat ahli kumpulan di laman Facebook mengenai air ketum.
Antara perkongsian terbuka yang dibuat ahli kumpulan di laman Facebook mengenai air ketum.

Berdasarkan hantaran dibuat, terdapat ramai pengguna media sosial berkenaan yang menunjukkan minat dengan tawaran jualan bagi mendapatkan air, serbuk mahupun daun ketum.

Turut ditawarkan adalah khidmat penghantaran berdasarkan jarak atau lokasi di beberapa daerah dan negeri.

Bagi daun ketum, harga yang boleh diperoleh sekitar RM30 hingga RM40 untuk satu kilogram (kg) bergantung kepada lokasi dan jarak penghantaran, manakala untuk sebotol atau sebungkus air ketum pula boleh diperoleh dengan harga serendah RM3.

Harga itu bagaimanapun akan meningkat sekiranya permintaan untuk penghantaran semakin jauh.

Artikel Berkaitan:

Lebih berani, penjual juga turut memaparkan nombor telefon untuk kemudahan pembeli menghubungi bagi membuat tempahan.

Seorang penjual air ketum yang enggan dikenali berkata, keuntungan lumayan selain permintaan tinggi merupakan antara faktor yang menyebabkan semakin ramai terjebak dalam penjualan daun, serbuk dan air ketum.

“Daun ketum seberat lapan kilogram boleh hasilkan kira-kira 45 botol air setelah direbus kira-kira 2 jam.

Hantaran di satu kumpulan di Facebook mengenai aktiviti penjualan daun ketum.
Hantaran di satu kumpulan di Facebook mengenai aktiviti penjualan daun ketum.

“Air ketum itu untuk minum sendiri, namun jika ada kawan-kawan mahu, kita jual sebotol atau dua botol kononnya sebagai ubat,” katanya.

Selain itu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Luqman mendakwa, daun ketum seberat satu kilogram boleh dibeli dengan harga RM4 di kawasan Padang Terap, Kedah.

“Sebungkus air ketum pula dijual serendah RM3 sahaja, manakala sebotol air ketum seberat 1.5 liter dijual antara RM10 hingga RM25. Barang juga boleh dibeli secara online (dalam talian),” ujarnya.

Sementara itu, lebih mengejutkan apabila seorang pemilik akaun Facebook mendakwa pernah ditangkap akibat menjual air ketum.

“Selepas saya kena tangkap, saya tidak lagi menjual secara bersemuka, jika mahu boleh tempah secara dalam talian,” dedahnya.

Paparan gambar penjualan daun ketum di sekitar daerah Muar, Johor.
Paparan gambar penjualan daun ketum di sekitar daerah Muar, Johor.

Dalam pada itu, grup yang aktif itu turut menimbulkan kerisauan beberapa pengguna media sosial.

Hanya mahu dikenali sebagai Fadzli, dia telah lama melihat kumpulan ini mempromosikan aktiviti penjualan daun dan air ketum.

“Macam berlesen pula, terlalu terbuka, dia ingat Malaysia ini seperti Colombia,” tulisnya.