Pejuang tidak letak calon PRK Kemaman

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

KEMAMAN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada proses memperkuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Memang kita sekarang dalam rangka strategi untuk memperkuatkan dalaman parti dan mempersediakan diri untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata, parti itu juga buat masa ini masih belum membuat sebarang keputusan untuk memberikan sokongan kepada mana-mana calon pada PRK Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15 Pejuang meletakkan Rosli Ab Ghani sebagai calonnya di Kemaman yang hanya meraih 506 undi.

Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) 8,340 undi dan Rosli sekali gus menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: