Israel setuju bekalkan dua trak bahan api sehari kepada Gaza

Tzachi Hanegbi bercakap menerusi siaran televisyen mengenai situasi di Gaza. - Foto Reuters
Tzachi Hanegbi bercakap menerusi siaran televisyen mengenai situasi di Gaza. - Foto Reuters
A
A
A

KABINET Perang Israel pada Jumaat meluluskan kemasukan bantuan dua trak bahan api dalam sehari ke Gaza untuk memenuhi keperluan rakyat Palestin dan petugas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Penasihat Keselamatan Perdana Menteri Israel, Tzachi Hanegbi, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan dan desakan daripada Washington.

Ujarnya, jumlah bahan api tersebut cukup bagi memberikan sokongan 'minimum' untuk sistem air, kumbahan dan kebersihan di Gaza bagi mencegah penularan wabak.

“Kabinet Pengurusan Perang menjawab permintaan khas daripada Amerika Syarikat untuk menyediakan dua kapal tangki sehari untuk kemudahan rawatan sisa air di Semenanjung Gaza.

"Ia susulan keadaan di Gaza yang menghadapi masalah gangguan bekalan elektrik dan kekurangan upaya untuk mengendalikan kumbahan.

"Ia juga untuk kegunaan sistem air yang dikendalikan oleh UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan petugas-petugas PBB yang berada di sana (Gaza)," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Israel tidak akan bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza sehingga sejumlah besar tebusan yang ditahan oleh Hamas dibebaskan.

Hanegbi juga berkata, perang antara pejuang Hamas dan Israel akan terhenti jika berlaku sebarang wabak disebabkan oleh kekurangan bekalan asas.

Artikel Berkaitan:

"Keputusannya ialah, kami mahu mencegah penularan wabak. Pada masa ini kami tidak mahu muncul wabak yang akan membahayakan orang awam di sana, dan juga tentera kami.

"Jika ada wabak - pertempuran akan berhenti," katanya. - Awani