Pengorbanan ibu jaga anak lumpuh

Salbiah membelai Ahmad Fazlan yang hanya terlantar di katil.
Salbiah membelai Ahmad Fazlan yang hanya terlantar di katil.
A
A
A

KUANTAN - Bukan semua insan mampu tabah melalui setiap dugaan yang diberikan dengan penuh reda dan sabar.

Salbiah Mohamad Salleh, 55, membuktikan mempunyai kekuatan itu apabila sanggup berhenti kerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan Balok Makmur demi menjaga anak lelakinya yang lumpuh seluruh badan.

Menurutnya, pengorbanan tersebut perlu dilakukan bagi memastikan anak kedua daripada tiga beradik, Ahmad Fazlan Mohd Zubir, 31, dijaga sebaiknya.

"Keputusan untuk berhenti kerja ini berat tapi demi anak, saya nekad dan tidak toleh ke belakang dengan tindakan ini.

"Malah, saya yakin setiap ujian ini pasti ada hikmah dan disebabkan itu saya pasrah dengan setiap ketentuan ALLAH," katanya ketika ditemui di Taman Sungai Karang Darat di sini pada Jumaat.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, Ahmad Fazlan menghadapi masalah lumpuh selepas dikatakan terjatuh dari motosikal ditungganginya pada 28 Januari lalu.

Salbiah memberi susu kepada Ahmad Fazlan.
Salbiah memberi susu kepada Ahmad Fazlan.

Ceritanya, anaknya tidak mengalami kecederaan ketika insiden berkenaan, namun selepas beberapa hari, Ahmad Fazlan mula sakit pada bahagian pinggang.

Artikel Berkaitan:

Dia membawa anaknya ke klinik dan kemudian berurut di Kubang Buaya di sini.

"Selepas itu, dia (Ahmad Fazlan) kata sakit dan tak boleh buang air kecil. Saya bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Masa di hospital itu, Ahmad Fazlan mengadu sangat lemah dan tidak boleh menggerakkan kaki, jadi doktor buat (imbasan) MRI (pengimejan resonans magnetik).

"Seterusnya doktor memberitahu ada jangkitan kuman dalam darah pada saraf tunjang dan bahagian pinggang," katanya lagi.

Salbiah menambah, Ahmad Fazlan ditidurkan selama seminggu, selain menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang dan pinggang kerana terdapat nanah di bahagian itu.

Susulan itu, anaknya langsung tidak boleh bergerak dan hanya boleh menggerakkan kepala dan leher.

“Selama tujuh bulan anak saya ditempatkan di dalam wad dan akhirnya dibenarkan pulang pada 18 Julai lalu di mana ketika itulah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaganya,” ujarnya.

Menurutnya, Ahmad Fazlan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen berikutan sering mengalami masalah sesak nafas, selain bergantung kepada susu khas sebagai makanan harian.

Bagaimanapun, dia mengakui agak lega memandangkan ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Salbiah berhenti kerja bagi memastikan Ahmad Fazlan diurus dengan sebaiknya.
Salbiah berhenti kerja bagi memastikan Ahmad Fazlan diurus dengan sebaiknya.

Jelasnya, elaun orang kurang upaya (OKU) berjumlah RM500 daripada JKM dan bantuan RM400 daripada Muip meringankan beban ditanggungnya ketika ini.

"Sekarang saya tak bekerja, jadi kena berjimat dan menggunakan semua bantuan diterima dengan lebih cermat.

"Dua lagi anak saya dah berkeluarga, mereka ada juga bagi duit tapi tak bolehlah nak harapkan sangat bantuan mereka, mereka pun ada keluarga sendiri untuk diberi perhatian," katanya.

Dia turut memaklumkan turut menerima sumbangan dari pejabat wakil rakyat kawasan Beserah dan pemimpin setempat.

Salbiah dalam pada itu melahirkan rasa sebak atas kejadian yang menimpa anaknya itu sekali gus berharap agar anaknya dapat segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Dia selalu mengadu hilang semangat, tapi saya selalu ingatkan dia supaya teruskan semangat.

"Saya akan berusaha mencari jalan untuk tengok dia kembali sembuh dan aktif serta dapat bekerja kembali,” katanya memberitahu Ahmad Fazlan sebelum ini bekerja di sebuah kilang kitar semula di Indera Mahkota, di sini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Salbiah (0010029898214298).