[VIDEO] Kedai Kopi Klasik Kemaman imbau nostalgia

A
A
A

KEMAMAN - Luarannya kelihatan seperti teratak usang yang sudah lama ditinggalkan, namun siapa sangka ia sebenarnya sebuah kedai makan berkonsepkan retro dan klasik.

Lebih unik sebelum melangkah masuk ke dalam kedai berkenaan, pelanggan disajikan dengan hiasan pelbagai barangan antik antaranya botol, basikal dan gambar-gambar zaman silam yang mengimbau kenangan pada era 80-an.

Ruang pelanggan menikmati juadah. Keadaan di luar kedai Kedai Kopi Klasik Kemaman yang kelihatan seperti teratak usang.
Ruang pelanggan menikmati juadah. Keadaan di luar kedai Kedai Kopi Klasik Kemaman yang kelihatan seperti teratak usang.

Kedai Kopi Klasik Kemaman terletak di Jalan Abdul Aziz, Chukai, dekat sini sememangnya mencuri tumpuan serta menjadi daya tarikan orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Pemiliknya, Raimi Muhammad, 38, berkata, minat terhadap barangan lama memberi inspirasi terhadap dirinya untuk membuka sebuah kedai makan berkonsepkan retro dan klasik.

Suasana di dalam kedai.
Suasana di dalam kedai.

"Minat terhadap barangan lama menyebabkan saya ingin mencari sebuah kedai lama untuk disewa dan mengubah suai kedai makan ini berkonsepkan klasik sekali gus dapat mengimbau kenangan silam bagi sesiapa yang mengunjunginya.

Artikel Berkaitan:

"Saya mula membuka kedai kopi ini pada awal tahun 2020. Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, kami tawarkan perkhidmatan penghantaran makanan.

"Alhamdulillah...setelah keadaan kembali pulih, orang ramai mula datang ke kedai ini kerana tertarik dengan keunikannya selain ingin merasai pelbagai juadah menarik terutamanya kopi butter dan kopi klasik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Raimi menampilkan konsep retro dan klasik di kedai kopi yang diusahakannya.
Raimi menampilkan konsep retro dan klasik di kedai kopi yang diusahakannya.

Mengulas lanjut, Raimi berkata, usaha untuk mendapatkan barangan lama dilakukan menerusi pembelian daripada pengumpul antik yang terdapat di dalam dan luar negeri selain koleksi simpanan sendiri.

Katanya, semua barangan lama yang dikumpulkan disesuaikan dengan konsep kedai.

"Ada yang kita beli sendiri daripada pengumpul barangan.

Antara barangan lama yang ada di Kedai Kopi Klasik Kemaman.
Antara barangan lama yang ada di Kedai Kopi Klasik Kemaman.

"Ada barangan lama yang dibeli mencecah sehingga RM2,000, namun ia berbaloi dengan nilai sesuatu barangan itu untuk dipamerkan di kedai ini kepada pelanggan sambil menikmati juadah," ujarnya.

Raimi berkata, pelanggan boleh menikmati pelbagai makanan antaranya nasi minyak, mi goreng Mamak dan pasta Aglio Olio.

"Menu menarik dan paling digemari pelanggan sudah tentu kopi klasik dan kopi butter. Kopi klasik ini kita hasilkan menggunakan resipi sendiri.

Raimi
Raimi

"Sudah tentu ia memberi sesuatu kelainan kepada pelanggan kerana dapat merasai suasana kedai lama dan antik sambil menikmati secawan kopi klasik sekali gus mengimbau nostlagia dan kenangan lama dahulu," ulasnya.